KUALA LUMPUR 14 Mac - Maybank memperkenalkan kemudahan pembiayaan automobil bersepadu pertama seumpamanya untuk pemilik kenderaan elektrik (EV) dan hibrid.
Ia merangkumi pelbagai aspek memiliki EV atau hibrid termasuk kemudahan pembiayaan holistik, perlindungan insurans dan takaful serta keistimewaan pengecasan EV.
Ini adalah selaras dengan aspirasi kumpulan untuk menjadi peneraju kemampanan di rantau ini dengan memenuhi komitmennya untuk mengagihkan sasaran yang disemak semula baru-baru ini sebanyak RM80 bilion dalam pembiayaan mampan kepada pelanggan menjelang 2025 serta mencapai kedudukan neutral karbon menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, tawaran ini tepat pada masanya dan mempamerkan komitmen kukuh kumpulan terhadap kemampanan dan pada masa sama memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berubah yang mana mereka menjadi semakin peka terhadap alam sekitar.
“Selain itu, inisiatif kami juga menyokong visi kerajaan untuk meningkatkan bahagian pasaran EV kepada 38% menjelang 2040 melalui Aspirasi Karbon Rendah Negara di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Maybank Islamic akan menjadi penyedia kewangan pertama negara yang memulakan landskap infrastruktur pengecasan EV setelah memasang stesen pengecas di Dataran Maybank, Kuala Lumpur Golf & Country Club dan Hotel Mandarin Oriental di sini.

Di samping itu, Maybank Islamic menyasarkan untuk memasang beberapa lagi stesen pengecas EV di Lembah Klang dan negeri lain di Semenanjung Malaysia menjelang Disember 2024 untuk membantu mengukuhkan lagi ekosistem dan menggalakkan penggunaan EV dan hibrid.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha bank untuk menggalakkan penggunaan EV serta menyediakan lebih banyak stesen pengecas untuk kemudahan pemilik EV.
Tambahan juga, pelanggan boleh menikmati pelbagai ganjaran dan faedah daripada program keahlian pembiayaan EV Maybank Islamic, InCharge, yang menyediakan pelanggan dengan rebat apabila menggunakan stesen pengecas milik bank dan semua stesen pengecas lain melalui aplikasi ParkEasy.
“Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat, selaras dengan misi kumpulan untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan, Maybank Islamic akan memperuntukkan hasil yang dikutip daripada penggunaan stesen pengecasan EV untuk disumbang kepada inisiatif impak sosial yang telah dikenal pasti," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian pembiayaan automobil bersepadu Maybank untuk pemilik EV dan hibrid, pelanggan boleh menghubungi Pusat Kewangan Auto Maybank terdekat, Pusat Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di talian 1300-88-6688 atau layari maybank.my/ev.
Penyenaraian penuh port pengecasan EV boleh dilihat pada aplikasi ParkEasy. - DagangNews.com








