Maybank lancar kempen simpanan tawar hadiah wang tunai dan peluang menderma | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank lancar kempen simpanan tawar hadiah wang tunai dan peluang menderma

(Dari Kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Izlyn Ramli; Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan dan Ketua Kumpulan Kad, B.Ravintharan
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 April - Maybank dan Maybank Islamic telah melancarkan kempen You Save & Pledge, We Donate #ForYou untuk menggalakkan orang ramai menyimpan dan mengembangkan dana mereka.

 

Kempen simpanan unik yang pertama seumpamanya menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM100,000 serta menderma kepada organisasi kebajikan terpilih di bawah MaybankHeart, di mana pelanggan boleh turut serta dan mendaftar di Maybank2u.

 

Kempen daripada penyumberan kolektif ini juga merupakan sebahagian daripada kempen Ramadan menyeluruh bank kumpulan tersebut bertemakan 'Kongsi Kebaikan Bersama Maybank' dengan niat menggalakkan individu dan masyarakat melakukan kebaikan bersama dan untuk satu sama lain bagi berkongsi kemakmuran.

 

Kempen yang telah bermula dari 1 Mac 2023 hingga 31 Julai 2023 tersebut selaras dengan misi Menginsankan Maybank yang menggalakkan amalan beretika untuk pertumbuhan yang bertanggungjawab dan inklusif buat semua.

 

Melalui kempen ini, Maybank akan menyumbang sehingga RM100,000 untuk membantu NGO terpilih di bawah MaybankHeart berdasarkan jumlah komitmen daripada orang ramai.

 

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata kempen unik ini adalah bukti sokongan tidak berbelah bahagi kumpulan itu terhadap golongan yang memerlukan dengan menderma kepada organisasi kebajikan, melalui MaybankHeart, serta pelanggan, dengan memberi ganjaran kepada mereka atas sokongan yang dilakukan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata pihaknya ingin mengambil peluang terutamanya pada bulan Ramadan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

 

“Dalam hal ini, mana orang ramai boleh secara kolektif mengikrarkan komitmen mereka terhadap kempen dan membantu membuka lebih banyak sumbangan untuk inisiatif pemerkasaan komuniti dan pendidikan yang dikenal pasti oleh MaybankHeart.

 

“Ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Maybank bagi melakukan kebaikan kepada masyarakat dengan menggalakkan orang ramai menyertai kami untuk menderma kepada badan amal pilihan mereka,” ujar beliau.

 

NGO yang dikenal pasti ialah SOLS 24/7, Hospis Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Nourish Malaysia dan Food Aid Foundation, di mana sumbangan akan disalurkan melalui MaybankHeart bagi menyokong inisiatif mereka dalam menawarkan pelbagai jenis bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

 

Maklumat lanjut mengenai kempen You Save & Pledge, We Donate #ForYou dan kempen aktivis jenama Kongsi Kebaikan Bersama Maybank masing-masing boleh didapati di https://maybank.my/saveup dan https://maybank.my/kongsi-kebaikan-DagangNews.com