KUALA LUMPUR 13 Feb - Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) melancarkan penyenaraian sulung waran berstruktur di Bursa Saham Indonesia (IDX) melibatkan lapan syarikat terbesar di bawah senarai IDX30 hari ini.
Perniagaan waran berstruktur kumpulan itu kini berada di tiga negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IBG, Michael Oh-Lau melihat pelancaran tersebut mengukuhkan kedudukan kumpulan tersebut di rantau ini dan komitmen terhadap tumpuan pelanggan.
“Kami melihat peningkatan pesat dalam penyertaan dan kecanggihan pelabur runcit ASEAN.
“Dalam pasaran yang berkembang dan tidak menentu dengan pelabur yang beralih kepada perdagangan dan kesediaan untuk mencari produk pelaburan alternatif, kami percaya minat dalam waran berstruktur akan meningkat.
"Sebagai pemain serantau yang terkemuka dalam pengurusan pelaburan, kami akan terus mengutamakan keperluan pelanggan dengan produk inovatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Ekuiti & Derivatif Komoditi Serantau Maybank IBG, Azzahir Azhar menzahirkan keterujaan kumpulan itu menjadi salah satu perintis yang menerbitkan waran di Indonesia.
Beliau menyifatkan pelancaran ini tepat pada masanya dalam perkembangan baru pasaran dengan permintaan yang ketara meningkat pesat.
“Kami optimis terhadap prospek jangka panjang dan sedang bekerja dengan bursa saham untuk menambah kedalaman dan keluasan pasaran modal,” katanya.
Terbitan di Indonesia ini adalah berikutan pengenalan tujuh waran berstruktur baharu ke atas syarikat di Malaysia dengan permodalan pasaran antara RM500 juta hingga RM1 bilion oleh Maybank Investment Bank, baru-baru.
Ia merupakan penyenaraian pertama selepas Bursa Malaysia menyemak semula syarat keperluan penyenaraian pasaran utama berkaitan waran berstruktur pada 19 Januari.
Azzahir berkata, waran berstruktur baharu ke atas saham dengan permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta menawarkan lebih banyak kepelbagaian.
Lapan waran berstruktur di IDX30 itu adalah waran panggilan yang terdiri daripada PT Aneka Tambang Tbk, PT Astra Internasional Tbk, PT Bank Central Asia Tbk, PT Bukit Asam Tbk, PT Merdeka Copper Gold Tbk, PT Perusahaan Gas Negara Tbk, PT Bank Rakyat Indonesia (Persero) Tbk dan PT Telkom Indonesia (Persero) Tbk.
Maybank IBG komited untuk menjadi penerbit waran berstruktur jangka panjang di ASEAN dan telah melabur dalam pembinaan infrastruktur, keupayaan tempatan dan pendidikan pelabur melalui pelbagai saluran. – DagangNews.com







