Maybank IB: Pelepasan cukai jualan kereta berkemungkinan dilanjutkan? | DagangNews Skip to main content

Maybank IB: Pelepasan cukai jualan kereta berkemungkinan dilanjutkan?

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kerajaan berkemungkinan melanjutkan pemberian insentif cukai jualan untuk sektor automotif selepas ia tamat pada Jun 2022.

 

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) berkata, kemungkinan itu disebabkan pelbagai keadaan termasuk gangguan rantaian bekalan, kadar tukara wang asing dan tekanan daripada pengguna.

 

Katanya, sektor automotif akan terus terkesan akibat kekurangan bekalan cip selain kenaikan kos bahan mentah yang menyebabkan berlakunya kelewatan penghantaran.

 

"Dengan tempoh kurang sebulan (sebelum tempoh tamat), kebanyakan pengeluar peralatan kenderaan sedang bergelut untuk memenuhi pesanan tertunggak mereka.

 

"Pembatalan tempahan besar-besaran dijangka berlaku pada Julai ini sekiranya tiada lanjutan diberikan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, unjuran jualan kenderaan (TIV) untuk April 2022 menurun sebanyak 23% dengan pengeluaran menguncup sebanyak 9%.

 

kereta

 

Katanya, lanjutan insentif cukai adalah pilihan popular dalam menangangi isu mikro dan sentimen di dalam sektor itu selain membantu meredakan kekecewaan pengguna yang tidak menerima penghantara sebelum akhir Jun 2022.

 

"Pelbagai persatuan terutama Persatuan Automotif Nasional (MAA) merupakan yang paling kuat menyokong perkara tersebut.

 

"Penghapusan SST secara kekal adalah langkah wajar dan sendainya ia tidak dihapuskan, penggubal dasar perlu menghasilkan penyelesaian terbaik dengan mengambil kira risiko inflasi yang semakin meningkat pada masa ini," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor itu dan menjangkakan unjuran TIV tidak berubah antara 580,000 hingga 600,000.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bermaz Auto Berhad, MBM Resources Berhad, Sime Darby Berhad, Tan Chong Motor Holdings Berhad and UMW Holdings Berhad. - DagangNews.com