Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaik taraf sektor hartanah Malaysia kepada 'neutral' daripada 'negatif' sebelum ini selepas harga saham pemain hartanah di bawah liputannya kembali 10% hingga 20% kepada penilaian yang lebih realistik.
Dalam nota kajiannya, Maybank IB berkata walaupun jualan hartanah 2022 sepatutnya menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila ekonomi semakin pulih, pihaknya tetap berhati-hati terhadap prospek pendapatan dan jualan tahun hadapan susulan pemulihan yang rapuh dalam sektor itu.
Katanya, kos bahan mentah yang lebih tinggi dan potensi kenaikan kadar faedah serta ketidaktentuan politik menjelang pilihan raya umum ke-15 merupakan antara faktor pemulihan yang lemah bagi sektor hartanah.
"Kami menyarankan pelabur untuk menjadi selektif dan memilih pemimpin sektor seperti SP Setia Bhd untuk penilaian yang tidak mendesak dan portfolio produk yang pelbagai,” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Tambahnya, statistik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada suku ketiga 2021 (3Q21) terus menunjukkan isyarat positif.
Memetik data NAPIC, Maybank IB berkata nilai jualan hartanah bagi sektor kediaman telah melantun semula selepas kemerosotan pada 2Q21, meningkat 20% suku ke suku (qoq) kepada RM17.8 bilion;
Hartanah tidak terjual terus bertambah baik, jatuh sebanyak 60.6% qoq dan 59.8% tahun ke tahun (yoy) kepada 46,889 unit pada 3Q21, hasil daripada pakej pemasaran yang agresif oleh pemaju.
"Secara keseluruhan, jualan untuk sembilan bulan pertama 2021 (9M21) meningkat sebanyak 16% yoy kepada RM52.4 bilion, iaitu hampir dengan tempoh 9M19 semasa pra-COVID yang dicatatkan iaitu sebanyak RM52.8 bilion.
"Berdasarkan perbualan kami dengan pemaju, momentum jualan dijangka meningkat pada pembukaan semula pasca ekonomi 4Q21 dan kebanyakan pemaju menjangkakan prospek jualan yang lebih baik pada FY22 walaupun ini mungkin berlaku dengan mengorbankan margin yang lebih rendah pada harga sederhana,” katanya.
Maybank IB juga berkata daripada enam pemaju, Mah Sing mencatat keputusan di atas jangkaan, tiga di bawah jangkaan (Sime Darby Property, UEMS, Sunway), manakala Tambun Indah Land dan SP Setia berada dalam anggaran.-DagangNews.com








