KUALA LUMPUR 15 Feb - Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan prospek MR DIY Group (M) Bhd. akan bertambah baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) apabila isu berkaitan buruh dan inventori semakin berkurangan.
Malah, menurutnya, pendapatan juga akan didorong oleh penambahan kedai baharu manakala pengembangan margin dijangka direalisasikan melalui pelarasan harga produk baru-baru ini dan ketiadaan cukai kemakmuran pada FY23.
"Pada tahun kewangan itu, kami percaya MR DIY berada pada kedudukan yang lebih kukuh dari segi operasi memandangkan kos pengangkutan semakin berkurangan beserta langkahnya menaikkan harga produk dan keupayaan berterusan untuk mengembangkan rangkaian kedai.
"Tekanan inflasi akan akan terus menjejaskan sentimen pengguna tetapi kemampuan dan produk kumpulan yang menjadi tarikan pasaran mampu mengurangkan kesan perbelanjaan pengguna yang dijangka lebih perlahan," katanya dalam nota kajian hari ini.
MR DIY merekodkan untung bersih sebanyak RM136.08 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, meningkat sedikit daripada RM134.55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh itu, pendapatan kumpulan meningkat 9.3% tahun ke tahun kepada RM1.07 bilion daripada RM975.4 juta didorong terutamanya jualan yang lebih positif menerusi pembukaan cawangan baharu.
Rangkaian cawangannya meningkat sebanyak 20% kepada 1,080 bagi tempoh tahun kewangan itu daripada 900 cawangan, yang menyaksikan transaksi meningkat 15.2% kepada 38.1 juta.
Untuk tahun kewangan penuh FY22, untung bersihnya meningkat kepada RM472.95 juta daripada RM431.83 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat kepada RM3.99 bilion daripada RM3.37 bilion.
Menurut Maybank IB, keuntungan bersih teras sebanyak RM136 juta bagi suku keempat adalah memenuhi jangkaannya yang menyaksikan keuntungan bersih teras bagi FY22 sebanyak RM480 juta, merangkumi 100% daripada unjuran firma itu dan konsensus.
Namun, firma itu, menurunkan anggaran pendapatan bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 2 hingga 3% apabila diselaraskan untuk kadar operasi semasa.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap MR DIY dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM2.40 sesaham.
Setakat 11.49 pagi ini, harga sahamnya menokok 7 sen atau 4% kepada RM1.82 dengan 5.28 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








