Maxis, MARDI bekerjasama bangunkan inovasi dalam sektor pertanian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis, MARDI bekerjasama bangunkan inovasi dalam sektor pertanian

Oleh DIYANA ISAMUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Maxis dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan inovasi memodenkan pertanian dan agromakanan.

 

Kerjasama ini bakal memanfaatkan keupayaan masing-masing untuk mengintegrasikan kejuruteraan dan ICT dalam projek-projek untuk industri pertanian yang mampan serta berdaya saing.

 

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zawawi Abdul Ghani berkata, sektor pertanian masih salah satu punca pertumbuhan ekonomi negara yang terpenting dan kerjasama itu tepat pada masanya.

 

“Ini kerana kami menantikan pemodenan amalan pertanian melalui pelaksanaan pendekatan baharu yang berdasarkan teknologi moden dan pembangunan mampan. Ini selaras dengan IR4.0 dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030,” katanya dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Claire Featherstone berkata, integrasi dan kesalinghubungan adalah penting bagi kemajuan industri.

 

“Terdapat banyak peluang untuk meningkat produktiviti serta hasil bagi petani tempatan melalui peningkatan automasi.”

 

“Potensi untuk memodenkan sektor pertanian ini besar, dan Maxis teruja untuk bekerjasama dengan MARDI untuk membangunkan serta merintis penyelesaian pintar melalui aplikasi Internet of Things (IoT) dan jalur lebar yang lebih tinggi untuk meningkatkan amalan pertanian harian,” katanya.

 

Sebagai perintis, kedua-dua pihak akan mengusahakan pertanian halia di kemudahan MARDI di seluruh negara menggunakan sistem automatik dengan penggunaan fertigasi dengan baja titisan, analisis data besar serta pengawasan 24 jam sehari.

 

Projek rintis ini untuk melancarkan teknologi kepada lebih 400 usahawan pertanian halia bagi meningkatkan kecekapan serta melengkapkan MARDI dengan data mengenai cara menggunakan teknologi dalam menangani cabaran sekuriti makanan.

 

Maxis dan MARDI pernah bekerjasama pada 2019 untuk penyelesaian teknologi canggih yang dikuasakan oleh NB-IoT Maxis bagi membantu meningkatkan hasil, kecekapan sumber dan kualiti penanaman anggur yang dihasilkan di Taman Agro MARDI di Langkawi. - DagangNews.com