KUALA LUMPUR 16 Jun - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) baru-baru ini menyerahkan kumpulan pertama kenderaan MAN Truck Generation Baharu kepada sekumpulan pelanggan pelopor di sebuah majlis khas di kilang pemasangannya di Serendah, Selangor.
Tujuh buah MAN Truck Generation Baharu, setiap satu dipacu oleh enjin dengan emisi rendah yang memenuhi standard Euro V, telah diserahkan kepada enam buah syarikat pengangkutan, dua daripadanya merupakan pelanggan MAN yang baharu.
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’ Brooks berkata, beliau berterima kasih kepada pelanggan yang menyertai usaha perjalanan yang mampan bersama MAN.
“Pada November 2021, MAN menjadi pengeluar trak yang pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai standard untuk seluruh portfolio produk syarikat. Ini merupakan satu langkah berani apabila kami memberi cabaran kepada syarikat pengangkutan di Malaysia untuk menyertai perjalanan dan menerajui usaha mengurangkan pelepasan karbon.
"Ini jelas menunjukkan bahawa syarikat pengangkutan di Malaysia sanggup mengambil bahagian dalam usaha negara mencapai status neutral karbon menjelang tahun 2050. Mereka sedar bahawa dengan MAN Truck Generation Baharu, mereka boleh mencapai keuntungan dan juga kemampanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
LTS Distribution (M) Sdn Bhd, anak syarikat Lee Ting San Group yang berpangkalan di Pulau Pinang dan merupakan salah sebuah syarikat pengangkutan lori yang terbesar di Malaysia, telah menerima MAN TGS 4x2 Baharu. Trak dengan kuasa 360hp ini akan digunakan untuk perkhidmatan pengangkutan jarak dekat.
Sim Aik Chan Trading Sdn Bhd juga menjadi pemilik MAN TGS 6x4 Baharu berkuasa 540hp. Dengan casis yang kukuh dan enjin yang berkuasa tetapi menjimatkan, trak yang terkini dalam fleet syarikat akan memberi keupayaan tugas berat untuk mengangkut bahan pembinaan ke serata pelosok negara.
Sea Hawk Global Lines Sdn Bhd, penyedia penyelesaian logistik bersepadu global, telah menerima kunci untuk dua buah unit – model utama MAN TGX 6x4 Baharu berkuasa 540hp yang menjadi daya tarikan semasa Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2022 baru-baru ini dan MAN TGS 6x2 dengan kuasa 440hp.
Berbekalkan enjin ‘hijau’ yang cekap menggunakan bahan api, kedua-dua trak MAN baharu ini akan membantu Sea Hawk mengembangkan perkhidmatan pengangkutan dalam sektor minyak dan gas di mana pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) adalah mandatori.


Pelanggan MAN but kali pertama, Timur Permai Haulage Sdn Bhd, syarikat yang pakar dalam pengangkutan kontena, telah menerima trak pilihan mereka, MAN TGS 6x2 Baharu berkuasa 440hp. Trak ini menjadi penyelesaian yang sempurna bagi memenuhi keperluan membawa kontena bagi syarikat.
Sementara itu, Globonus Sdn Bhd juga telah memilih MAN Truck Generation Baharu dengan spesifikasi ADR. Penyedia penyelesaian logistik lengkap ini memilih MAN TGS 6x2 baharu berkuasa 440hp yang memenuhi keperluan syarikat sebagai vendor utama kepada sebuah syarikat minyak dan gas multinasional.
MAN Truck Generation Baharu dengan enjin Euro V sebagai enjin standard merupakan rangkaian produk serba baharu yang menerajui pencapaian keselesaan memandu, kecekapan penggunaan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan yang paling penting, kemampanan. - DagangNews.com








