Malaysian Genomics catat kerugian bersih RM1.45 juta pada 5QFY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysian Genomics catat kerugian bersih RM1.45 juta pada 5QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) mencatat kerugian bersih RM1.45 juta pada suku kelima tahun kewangan 2023 (5QFY23) daripada keuntungan bersih RM847,000 dalam tempoh sama tahun lalu, menjadikannya kerugian bersih bagi suku keempat berturut-turut.

 

Pendapatannya dalam suku berakhir 30 September 2023 itu pula merosot 40.6% kepada RM2.27 juta berbanding RM3.8 juta tahun lalu dan mencatat kerugian sesaham sebanyak 1.07 sen berbanding pendapatan sesaham 0.68 sen sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MGRC berkata penurunan pendapatan pada suku dalam tinjauan adalah berikutan peralihan tumpuan jualan daripada imunoterapi kepada terapi sel, yang kini membentuk kira-kira 78% daripada jumlah pendapatan.

 

Meskipun ia dalam usaha peralihan tersebut, kumpulan itu berkata ia terus meningkatkan tawaran terapi sel dan terus mengembangkan perkhidmatan imunoterapi.

 

Tambahnya, ia juga sedang giat mengusahakan pertumbuhan organik perniagaan saringan genetik dan berkembang ke pasaran baharu, termasuk sektor barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG).

 

Pengerusi Eksekutif MGRC, Azri Azerai berkata kumpulan itu optimis bahawa usahanya dalam bidang ini akan terus membuahkan hasil yang positif dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran.

 

“Malah, prospek untuk Malaysian Genomic kekal teguh. Kumpulan di kedudukan yang baik sebagai penyedia utama penyaringan genetik, analisis genom serta produk dan perkhidmatan biofarmaseutikal di Asia Tenggara.

 

“Dengan menggunakan kemudahan canggih kami, termasuk makmal penjujukan pemprosesan tinggi, kemudahan mikrotatasusunan dan makmal pemprosesan sel BSL-2 tercanggih yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kami berdedikasi untuk menyediakan rumusan penjagaan kesihatan bertepatan dan diperibadikan,” ulasnya beliau dalam kenyataan tersebut.

 

Azri berkata kumpulan itu sedang meneroka peluang dan terlibat secara aktif dengan rakan kongsi strategik merentasi Asia Tenggara, rantau Afrika Utara Timur Tengah dan Amerika Syarikat untuk mengembangkan rangkaian pengedaran kumpulan.

 

Di samping itu, MGRC turut memanfaatkan kepakarannya untuk membangunkan rangkaian produk untuk pasaran FMCG, termasuk ramuan baharu dan produk siap untuk kosmetik, penyembuhan luka dan program peningkatan kecergasan berasaskan genetik.  - DagangNews.com