Malaysia tidak boleh terlepas peluang laksana GMT, dijangka bermula 2024 - Deloitte Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tidak boleh terlepas peluang laksana GMT, dijangka bermula 2024 - Deloitte Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Okt - Cadangan pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT) dan Cukai Tambah Nilai Minimum Domestik Layak (QDMTT) dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu dilihat tepat pada masanya dan mampu memperkasakan regim cukai di negara ini. 

 

Menurut Deloitte Malaysia, GMT telah dicadangkan sejak beberapa tahun lalu dan ia melihat Malaysia tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan cukai tersebut. 

 

Malah, katanya, ramai pembayar cukai yang terjejas, termasuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan pelabur langsung asing pastinya berminat dengan hala tuju Malaysia.

 

"Walaupun cukai ini diumumkan ketika Bajet 2023 dan kemudiannya Parlimen dibubarkan, kami melihat ia tidak menjejaskan perancangan kerajaan untuk melaksanakan cukai tersebut.

 

"Ini kerana GMT merupakan agenda percukaian antarabangsa. Cukai tambah nilai sudah sedia ada. Jika Malaysia tidak melaksanakannya, hak cukai akan diserahkan kepada negara lain. 

 

"Oleh itu, tiada sebab untuk Malaysia tidak melakukannya. Tidak seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), cukai keuntungan modal atau cukai warisan, pelaksanaan GMT adalah kunci untuk menegakkan kedaulatan cukai Malaysia," katanya dalam kenyataan yang disediakan Ketua Cukai Antarabangsa Deloitte Malaysia dan Asia Tenggara, Tan Hooi Beng dan Pengarah Deloitte Malaysia, Kelvin Yee, hari ini. 

 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan 'pendekatan dua tonggak' dalam percukaian untuk mewujudkan persekitaran berdaya saing bagi pelaburan langsung asing dan domestik.

 

Pendekatan itu, yang turut mencegah pengelakan cukai rentas sempadan sedang dikaji pada masa ini dan dianggarkan bermula pada 2024.

 

Menurut Deloitte, GMT pada 15% ialah kadar cukai korporat baharu yang 'rendah' dan berkesan untuk syarikat multinasional (MNC) besar. 

 

"Di mana sahaja MNC beroperasi, ia mesti membayar jumlah cukai yang betul - iaitu, sekurang-kurangnya 15%," tambahnya.

 

Ia menyifatkan Malaysia akan menyerahkan hak cukai kepada negara lain jika GMT tidak diterima pakai.

 

"Sebagai contoh, syarikat tersenarai yang berpangkalan di Malaysia mempunyai anak syarikat yang beroperasi di negara X menikmati pengecualian cukai selama 10 tahun.

 

"Jika Malaysia tidak melaksanakan GMT, cukai tambah nilai (15% - 0%) akan dikutip oleh negara lain yang melaksanakan GMT," jelasnya.

 

Firma tersebut turut memberi contoh lain iaitu  situasi di mana terdapat anak syarikat Malaysia yang dikenakan cukai rendah bagi MNC yang mempunyai ibu pejabat asing.

 

Katanya, melainkan Malaysia mengguna pakai GMT, khususnya QDMTT, cukai tambah nilai kepada 15% akan diserahkan kepada bidang kuasa di mana syarikat induk berada.

 

"Kami percaya pelaksanaan GMT adalah penting dan bukan pilihan untuk Malaysia. QDMTT pula boleh menjadi tugas yang kompleks di mana peraturan perbadanan asing kawalan negara lain perlu dipertimbangkan," katanya.

 

Sehubungan itu, Deloitte menjangkakan GMT akan mula dikuatkuasakan ke atas MNC bermula dari atau selepas  1 Januari 2024.

 

Menurutnya, walaupun pemulangan GMT pertama hanya akan dibuat lebih awal, pemahaman awal tentang kesan dan penyediaan cukai berkenaan akan menjadi kunci kepada pelaksanaan yang berkesan dan cekap. - DagangNews.com