Malaysia raih RM8.9 bilion pelaburan dari Korea Selatan, Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia raih RM8.9 bilion pelaburan dari Korea Selatan, Jepun

 

Oleh ANIS FARHAHAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 April - Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan bernilai RM8.9 bilion dari Korea Selatan dan Jepun bagi tahun ini. 

 

Pelaburan berkenaan susulan daripada misi perdagangan dan pelaburan yang diketuai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 31 Mac hingga 6 April lalu.

 

Dari Korea Selatan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), SK Nexilis Co., Ltd. iaitu anak syarikat kepada SK Group baru-baru ini mengumumkan pelaburan bernilai RM2.3 bilion ke dalam Malaysia. 

 

Ini melibatkan kilang pembuatan foil tembaga nipis di Sabah, di mana nilai pelaburan itu kemudiannya disemak semula kepada RM4.24 bilion. 

 

“Kilang pembuatan di Kota Kinabalu itu akan dijana oleh 100% tenaga boleh diperbaharui, di mana operasi tersebut merupakan yang pertama buat SK Nexilis di luar Korea Selatan,” jelas MIDA dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, syarikat kimia terbesar di Korea Selatan, LG Chem Ltd. juga menunjukkan minatnya untuk mengembangkan kelompok petrokimia di Malaysia.

 

Syarikat itu dijangka mewujudkan usaha sama dengan Petronas Chemicals Group Berhad (PetChem) untuk menghasilkan lateks getah nitril-butadiena (NBR) di Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) dengan potensi pelaburan sebanyak RM600 juta.

 

Dalam pada itu, ujar MIDA, syarikat makanan dari Korea Selatan, SPC Group berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran serantaunya bagi doh halal dengan nilai pelaburan kira-kira RM91.2 juta.

 

“Syarikat ini juga bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat Malaysia dalam membawa jenama francais Paris Baguette ke dalam pasaran tempatan. 

 

“Hari ini, SPC Group merupakan syarikat utama dalam industri makanan di Korea Selatan dengan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang maju, di 6,000 lokasi seluruh global dan merancang untuk meningkatkan outlet di seluruh dunia kepada 20,000 menjelang 2030,” tambah MIDA.

 

Satu lagi projek terkenal dari Korea Selatan ialah pembuatan foil elektrik (Elecfoil) oleh ILJIN Materials di mana syarikat itu telah membina kilang luar negara pertamanya di Kuching, Sarawak. 

 

ILJIN akan melaksanakan projek pengembangan untuk menghasilkan foil elektrik dengan pelaburan tambahan sebanyak RM2.2 bilion.

 

“Projek pengembangan akan dilaksanakan di tanah seluas 16 hektar bersebelahan dengan projek sedia ada yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2025, di mana ILJIN akan menghasilkan 40,000 tan foil elektrik setiap tahun. 

 

“Sebanyak 500 tan foil elektrik dapat menghasilkan 15,000 Kenderaan Elektrik (EV), memberikan peluang besar bagi ILJIN untuk memanfaatkan pasaran Eropah sebagai pasaran terbesar untuk EV di dunia dan memanfaatkan operasi mereka yang digerakkan oleh bakat tempatan di Malaysia, untuk meningkatkan pengeluaran bagi EV,” kata MIDA lanjut.

 

Dari Jepun pula, Nippon Electric Glass Co., Ltd. (NEG) akan melabur sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi pengeluaran baharu gentian e-kaca.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata, kedua-dua negara berkenaan akan terus menjadi pelabur utama buat Malaysia. 

 

“MIDA akan terus mengalu-alukan pelaburan langsung asing yang berkualiti tinggi dari seluruh dunia, termasuk Korea Selatan dan Jepun. 

 

“Kesemua pelaburan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia ekoran impak bergandanya ke atas ekonomi dan akan terus melakukan demikian pada era pasca pandemik,” katanya dalam kenyataan sama. - DagangNews.com