Malaysia perkukuh industri pembangunan permainan menerusi pusat latihan UATC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perkukuh industri pembangunan permainan menerusi pusat latihan UATC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Landskap bakat dan keupayaan industri pembangunan permainan tempatan bakal diperkasakan menerusi pengenalan pusat latihan, Unreal Authorised Training Centres (UATC) di Malaysia, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

MDEC dalam satu kenyataan hari ini berkata, UATC dan Unreal Authorized Instructors (UAI) akan membantu melatih generasi baharu berbakat menerusi kursus dalam industri seperti permainan, seni bina, media, hiburan, automotif, latihan dan simulasi, serta penyelidikan perubatan.

 

Terdahulu, MDEC memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan APlus yang merupakan rakan kongsi pendidikan Epic Games bagi rantau ASEAN bagi membangun dan menjalinkan kerjasama dalam latihan akademik untuk Unreal Engine (UE). 

 

Katanya, UE merupakan alat penciptaan tiga dimensi (3D) termaju di dunia yang dibangunkan oleh Epic Games bagi membolehkan pembangun dan pencipta permainan merentas industri menerbitkan kandungan dan pengalaman 3D masa nyata lebih bebas dan fleksibel.

 

"MDEC bersama-sama Epic Games, menerusi APlus akan memperkenalkan projek latihan dan program pengurusan yang merangkumi latihan kemahiran vokasional teknikal serta bimbingan untuk peringkat permulaan dalam bidang permainan, Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan Extended Reality (XR).

 

"Kami teruja untuk memperkenalkan program ini di Malaysia bagi membantu mengasah bakat sedia ada dan sekali gus meningkatkan daya saing dalam industri kandungan digital," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, selain melatih dan membangunkan bakat kreatif digital tempatan, latihan itu juga turut membuka peluang kepada penerokaan ruang perniagaan baharu dalam ekosistem kandungan kreatif digital. 

 

Katanya, usaha ini sejajar dengan matlamat Malaysia Digital yang bertujuan mempercepatkan penggunaan digital dalam kalangan rakyat serta melahirkan usahawan tempatan dan global bagi meningkatkan sumbangan ekonomi digital dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

"Menurut penyelidikan Burning Glass Technologies pada 2021, keperluan untuk kemahiran 3D masa nyata terus mendapat sambutan di mana ia telah mengatasi purata kemahiran teknologi internet sebanyak 50% dan lebih daripada 30,000 pekerjaan baru ditambah. 

 

"UE sangat digemari dalam kalangan pembangun permainan kerana ia adalah perisian terbuka yang menggunakan bahasa skrip visual blueprint.

 

"Ini membolehkan perisiannya lebih mudah diakses oleh orang ramai kerana ia membina prototaip pantas tanpa memerlukan pengetahuan lanjutan mengenai bahasa pengaturcaraan," katanya.

 

Tambahnya, pengenalan UATC berfungsi sebagai sumber tambahan bagi merapatkan jurang bakat teknologi dan memberi peluang kepada bakat tempatan untuk mengasah kemahiran seterusnya meningkatkan keupayaan industri permainan negara. - DagangNews.com