KUALA LUMPUR 27 Julai - Malaysia mampu mencapai sasaran yang ditetapkan untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana menerusi pembentukan integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, untuk merealisasikan sasaran besar ini, negara Malaysia perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.
"Usaha kita sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas.
"Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Menurut Anwar, Malaysia perlu meneladani negara-negara yang dahulunya jatuh, tetapi tangkas dan bangkit semula di hadapan.

"Mahu tidak mahu, kita mesti menjadi jaguh ekonomi serantau. Kita perlu punyai minda global dan mengutama pengantarabangsaan ekonomi.
"Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5%.
"Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5%, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6%," katanya. - DagangNews.com








