Malaysia, Indonesia lancar jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia, Indonesia lancar jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) telah melancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan Malaysia dan Indonesia melalui DuitNow dan QRIS untuk transaksi runcit.

 

Menurut BNM, pelancaran ini adalah susulan kejayaan fasa rintis jalinan yang diumumkan pada 27 Januari 2022 dan telah menyaksikan penyertaan institusi kewangan yang lebih banyak termasuk institusi kewangan bukan bank.

 

Ini membolehkan lebih banyak rakyat Indonesia dan Malaysia membuat pembayaran runcit secara segera di kedua-dua negara dengan QR Code Standar Pembayaran Nasional (Quick Response Code Indonesian Standard, QRIS) atau DuitNow di kedai-kedai atau secara dalam talian menggunakan perkhidmatan ditawarkan oleh institusi kewangan terlibat.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata jalinan ini mewujudkan potensi besar untuk merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk perbelanjaan pelancongan.

 

“Ini juga membantu memperluas pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, lantas meningkatkan hasil kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Indonesia menjadi pelengkap kepada jalinan pembayaran dua hala antara negara ASEAN yang akan menyumbang ke arah rantau yang lebih teguh dan membangunkannya sebagai pusat pertumbuhan.

 

Sementara itu, Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo menambah, jalinan pembayaran ini membuktikan kerjasama Kesalinghubungan Pembayaran Serantau yang kukuh untuk menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif, khususnya memberikan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

 

Menurut beliau, jalinan ini selaras dengan inisiatif Roadmap for Enhancing Cross Border Payments oleh G20 dan merupakan pencapaian penting bagi Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2023 serta mewakili satu lagi peristiwa penting bagi Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025.

 

“Jalinan pembayaran ini menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat transaksi pembayaran rentas sempadan dan bertindak sebagai faktor penting untuk meningkatkan kecekapan serta menggalakkan ekonomi digital dan rangkuman kewangan di rantau ini.

 

“Jalinan ini juga akan mengekalkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan,” ujar beliau.

 

Berikutan meningkatnya momentum perjalanan antarabangsa, jalinan pembayaran ini dijangka bukan sahaja memudahkan lagi para pelancong, malah akan memberikan manfaat pada pelancongan dan sektor runcit kedua-dua negara.

 

Kejayaan pelancaran jalinan pembayaran ini merupakan hasil kerjasama erat industri yang diterajui oleh BI dan BNM, yang bekerjasama rapat dengan Asosiasi Sistem Pembayaran Indonesia, termasuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada pengendali sistem pembayaran di Indonesia, PayNet4 dan institusi kewangan peserta. -DagangNews.com