Malaysia catat pertumbuhan 3.3% pada suku ketiga 2023, eksport kekal lembap - BNM | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat pertumbuhan 3.3% pada suku ketiga 2023, eksport kekal lembap - BNM

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pada sidang media di Bank Negara Malaysia pada 17 November 2023. - Gambar BNM
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 17 Nov - Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.3% pada suku ketiga tahun 2023 berbanding 2.9% yang dicatat pada suku kedua, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

 

Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah. Sementara itu,
aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.

 

Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan. Walau bagaimanapun, keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

 

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terus menyokong pertumbuhan. Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pengeluaran dalam sektor perkilangan disebabkan oleh permintaan yang lemah terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pengeluaran produk petroleum bertapis yang lebih rendah.

 

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.6% (S2 2023: 1.5%). Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9% pada tiga suku pertama tahun 2023.

 

Inflasi keseluruhan terus menurun kepada 2% (S2 2023: 2.8%) pada suku ketiga. Penurunan dicatatkan oleh inflasi bukan teras dan inflasi teras.

 

Bagi inflasi bukan teras, makanan segar dan bahan api menyumbang kepada penurunan berkenaan. Inflasi teras terus menurun kepada 2.5% (S2 2023: 3.4%) tetapi kekal melebihi purata jangka panjang (purata 2011-2019: 2%).

 

Inflasi teras yang menurun sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih termasuk makanan di luar rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

 

Rebakan inflasi berkurang apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 40.8% pada suku ketiga (S2 2023: 42.7%), iaitu di bawah purata jangka panjang suku ketiga (2011-2019) sebanyak 44.5%.

 

Perkembangan kadar pertukaran

Keadaan kewangan domestik didorong terutamanya oleh jangkaan yang berubah-ubah terhadap landasan dasar monetari global. Khususnya, kekukuhan pasaran pekerja AS telah menyebabkan jangkaan berhubung dengan pendirian dasar yang lebih ketat untuk jangka masa yang lebih lama oleh Federal Reserve AS dan seterusnya kadar faedah AS dan global yang lebih tinggi.

 

Sebaliknya, People’s Bank of China melaksanakan pelonggaran dasar monetari selanjutnya untuk menangani pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan di China yang telah melemahkan sentimen pelabur terhadap rantau itu.

 

Berlatarkan persekitaran ini, penambahan nilai dolar AS berlanjutan ke suku ketiga dan menyebabkan nilai ringgit Malaysia menurun sebanyak 0.2% seiring dengan penurunan nilai mata wang serantau yang lain.

 

Namun, nilai ringgit meningkat sebanyak 1.4% berbanding dengan sekumpulan mata wang rakan perdagangan utama, seperti yang ditunjukkan oleh kadar pertukaran efektif nominal ringgit (nominal effective exchange rate, NEER).

 

Keadaan pembiayaan

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 4.2% (S2 2023: 3.7%) disokong oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan (1.6%; S2 2023: 0.5%) manakala pertumbuhan bon korporat
terkumpul kekal pada 5% (S2 2023: 4.9%).

 

Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh peningkatan dalam pinjaman modal kerja kepada bukan PKS.

 

Yang penting, pertumbuhan pinjaman PKS kekal menggalakkan (6.7%; S2 2023: 6.4%). Bagi isi rumah, pinjaman
terkumpul bertambah sebanyak 5.4% (S2 2023: 5.1%), mencerminkan pertumbuhan stabil merentas tujuan utama pinjaman.


 

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour
                         Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

 


Pada masa hadapan, pertumbuhan akan kekal berdaya tahan berikutan permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun wujud rintangan luaran

 

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, "Meskipun dalam persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 4% pada tahun 2023 dan 4% – 5% pada tahun 2024.

 

"Pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berkembang berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri.

 

"Prestasi pertumbuhan ini bersama-sama dengan perkembangan ekonomi menggalakkan yang lain akan memberikan sokongan kepada ringgit," kata beliau dalam sidang media di BNM hari ini.

 

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik

Pelaburan akan disokong oleh kemajuan selanjutnya dalam projek infrastruktur berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin. Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada
kegiatan ekonomi.

 

Prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada permintaan luar yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.

 

Walau bagaimanapun, wujud faktor yang mungkin menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih tinggi iaitu aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan, permintaan dalam sektor E&E yang pulih dengan lebih kukuh serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih pantas.



Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal berkurang bagi tempoh seterusnya pada tahun 2023

Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sepanjang tahun 2023, disebabkan terutamanya oleh keadaan kos yang lebih rendah.

 

Keadaan ini dijangka berterusan untuk tempoh seterusnya pada tahun 2023.

 

Secara menyeluruh, inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2.5% hingga 3% pada tahun 2023. Pada masa hadapan, risiko terhadap prospek inflasi kekal sangat bergantung pada perubahan dasar dalam negeri mengenai
subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan. - DagangNews.com