KUALA LUMPUR 10 Jan - Malayan Flour Mills Bhd (MFM), Leong Hup International Bhd dan PPB Group Bhd telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung dakwaan pelanggaran penetapan harga makanan ayam.
Ketiga-tiga syarikat tersebut, dalam makluman masing-masing kepada Bursa Malaysia, berkata mereka memfailkan notis rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan pada 9 Januari 2024.
Pada masa yang sama, mereka turut memohon penangguhan keputusan sementara menunggu proses rayuan.
Rayuan tersebut dilakukan sebagai tindak balas kepada penalti MyCC berjumlah RM415.5 juta terhadap lima pengilang makanan ayam atas dakwaan bersubahat meningkatkan kuantum harga makanan ayam.
ARTIKEL BERKAITAN: MyCC denda berjumlah RM416 juta ke atas lima syarikat pengisar makanan ayam bersubahat sebagai kartel penetapan harga
Ini termasuk syarikat tersenarai Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh Leong Hup International Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd (LFM); Malayan Flour Mills Bhd milik sebahagian Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) dan anak syarikat 80% milik PPB Group Bhd, FFM Bhd.
DPDC dikenakan denda sebanyak RM70.02 juta, manakala bagi LFM berjumlah RM157.47 juta dan FFM Bhd pula didenda RM42.69 juta.
Susulan pengumuman penalti tersebut pada 22 Disember 2023, ketiga-tiga syarikat itu berkata keputusan dan denda dikenakan oleh MyCC itu adalah tanpa merit.
Syarikat-syarikat ini menegaskan bahawa mereka ‘mencabar dengan keras’ penemuan MyCC berhubung pelanggaran tersebut dan sedang berunding dengan penasihat undang-undang luar untuk mengambil ‘tindakan yang perlu dan wajar’ bagi merayu keputusan itu serta memohon penangguhan keputusan itu buat sementara waktu. - DagangNews.com








