Malacca Securities jangka pengeluaran Kim Loong Resources terus meningkat | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka pengeluaran Kim Loong Resources terus meningkat

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jun - Malacca Securities menjangkakan pengeluaran Kim Loong Resources Berhad untuk suku tahun berikutnya akan terus meningkat selepas mengambil kira isu kekurangan tenaga pekerja mula berkurangan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga dilihat akan terus berkembang positif selepas kilang biogas di Keningau dan Telupid dijangka mula beroperasi dalam membekalkan grid tenaga pada penghujung 2QFY23.

 

"Kami juga menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal tinggi sekitar RM4,000 untuk setiap tan bagi baki tahun ini.

 

"Kestabilan pasaran itu dilihat kepada pemintaan daripada China dan India selain kekangan pengeluaran yang berterusan akibat kekurangan tenaga kerja di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan kumpulan itu melonjak sebanyak 38% kepada RM39.23 juta untuk suk pertama berakhir 30 April 2022 berbanding RM29.38 juta bagi tempoh sama tahun lalu dipacu oleh sumbangan daripada operasi perladangan.

 

Kuntungan bagi suku tahun itu juga melonjak sebanyak 63% kepada RM509.74 juta berbanding RM312.45 juta tahun lalu. 

 

Firma itu berkata, selepas mengambil kira pendapatan kumpulan itu berjaya mencapai jangkaan, pihaknya tidak membuat sebarang perubahan untuk unjuran pendapatan.

 

"Kami menaik taraf sasaran kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.94," katanya. - DagangNews.com