MAHB pertingkat langkah perangi penyeludupan hidupan liar di lapangan terbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB pertingkat langkah perangi penyeludupan hidupan liar di lapangan terbang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata ia mengambil langkah proaktif mengatasi isu penyeludupan hidupan liar di lapangan terbang yang dikendalinya berpandukan Piawaian Antarabangsa dan Amalan Disyorkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

 

Menurut MAHB, semua lapangan terbangnya menggunakan sistem pemeriksaan bagasi automatik yang diluluskan, di mana Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mempunyai lima peringkat saringan untuk mengesan senjata, bahan letupan, peranti, artikel dan bahan yang mendatangkan bahaya kepada komuniti lapangan terbang dan penumpang atau anak kapal di dalam pesawat.

 

Kumpulan itu berkata tangkapan dan dakwaan bagi kesalahan mengedar dadah terlarang dan hidupan liar di bawah bidang kuasa undang-undang berkaitan sedia ada, terletak di bawah bidang kuasa agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Sebagai pengendali lapangan terbang yang bertanggungjawab, Malaysia Airports telah mengambil langkah proaktif untuk menangani isu penyeludupan hidupan liar, melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan dan semua agensi berkaitan dalam aktiviti penguatkuasaan masing-masing.

 

“Antara inisiatif itu termasuk memulakan penglibatan berterusan dengan agensi-agensi yang telah menghasilkan operasi kerjasama untuk meningkatkan pemeriksaan keselamatan dan pemeriksaan bagasi untuk penerbangan yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

MAHB mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menjelaskan proses pendaftaran masuk bagasi penumpang berikutan laporan media mengenai hidupan liar yang diseludup ke negara lain oleh penumpang yang berlepas dari Malaysia baru-baru ini.

 

IndiaToday melaporkan bahawa pada 30 Julai (Ahad), pegawai kastam di Trichy International Airport telah merampas 47 ekor ular dan dua cicak yang dibawa oleh penumpang Batik Air yang tiba dari Kuala Lumpur di dalam bagasinya.

 

Bagi memerangi penyeludupan hidupan liar, MAHB berkata ia sedang bekerjasama dengan risikan kastam lapangan terbang antarabangsa lain untuk mendapatkan pandangan tentang trend dan cabaran penyeludupan terkini dalam mengatasi pemerdagangan.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata ia juga akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk meningkatkan lagi mekanisme pemantauan dan membolehkan pemeriksaan lebih berhati-hati dijalankan berdasarkan penilaian dipacu data penerbangan berisiko tinggi.

 

Di samping itu, Malaysia Airports akan terus meningkatkan kesedaran dalam kalangan penumpang melalui kempen Pengumuman Perkhidmatan Awamnya di rangkaian lapangan terbangnya. - DagangNews.com