Mah Sing diiktiraf sebagai pemaju terbaik pada Anugerah Asia PropertyGuru Malaysia ke-9 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing diiktiraf sebagai pemaju terbaik pada Anugerah Asia PropertyGuru Malaysia ke-9

Para pemenang bergambar pada majlis Anugerah Asia PropertyGuru Malaysia ke-9
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Mah Sing Group Berhad berjaya merangkul Anugerah Pemaju Terbaik, iaitu pengiktirafan terbesar untuk tahun ini pada Anugerah Asia PropertyGuru Malaysia ke-9 menerusi kerjasama dengan iProperty.com.my.

 

Syarikat tersebut juga telah memenangi anugerah Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik dan Pemaju Terbaik (Wilayah Tengah Malaysia), di samping Pengiktirafan Istimewa membabitkan CSR, ESG serta Seni Bina dan Binaan Lestari.

 

Dijulang sebagai Pemaju Terbaik (Selatan Malaysia), Matrix Concepts Holdings Berhad juga telah memenangi tiga Pengiktirafan Istimewa di samping dua anugerah untuk projek Bandar Sri Sendayan, iaitu Pembangunan Perbandaran Mega Terbaik dan Pembangunan Perbandaran Terbaik. 

 

Clover @ Resort Residence, sebuah projek perumahan baharu oleh syarikat tersebut pula telah memenangi anugerah Pembangunan Binaan Rendah Terbaik (Gaya Hidup).

 

WM Senibong Sdn Bhd telah dinobatkan sebagai Pemaju Perbandaran Terbaik, disokong dengan kemenangan bagi pelbagai projek: Emerald Business Park, Crest@Austin; Lagoon Residences; dan Ruby Terrace, Crest@Austin.

 

Pemenang-pemenang lain dalam kategori Pemaju ialah GuocoLand (Malaysia) Berhad, yang dinamakan sebagai Pemaju Terbaik (Gaya Hidup) dan diiktiraf bagi projeknya, Emerald 9; KCC Realty (Pemaju Komersial Terbaik), juga diiktiraf bagi projek RiverCity Sky Residence; dan CPI Land (Pemaju Butik Terbaik).

 

Sementara itu, KL Wellness City Sdn Bhd telah membawa pulang anugerah Pencetus Impak Bagi Pengguna, manakala SkyWorld Development Bhd dinobatkan sebagai Pemaju Bervisi. 

 

 

propertyguru

 

 

Sime Darby Property turut merangkul kemenangan untuk pelbagai projek, iaitu East57, Timur KL, yang berjaya memenangi dua anugerah dan antaranya ialah AsiaPropertyAwards.com Pembangunan Binaan Rendah Terbaik, di samping Lot 15, Pusat Bandar Subang Jaya (SJCC); The Residences III di The Glades, Putra Heights; The Serenade di The Glades, Putra Heights; dan XME Business Park, Nilai Impian.

 

Perkongsian usaha antara dua platform pasaran hartanah yang terkemuka di Malaysia, PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, telah menjadikan sambutan gala 2022 ini satu realiti. 

 

 

propertyguru

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan PropertyGuru Group, Hari V. Krishnan berkata, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada para pemenang di Malaysia. 

 

"Kami berbesar hati untuk melihat dua jenama besar, PropertyGuru Malaysia dan iProperty.com.my berganding bahu untuk memahat tanda aras bagi kecemerlangan dalam kegiatan pembangunan dan reka bentuk hartanah. 

 

"Penyatuan antara platform pasaran hartanah yang tersohor di Malaysia ini telah mempersembahkan peluang untuk menaik taraf pengalaman golongan pencari hartanah di dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com