Mah Sing beli tanah di Johor, bangunkan projek M Minori dengan GDV RM469 juta | DagangNews Skip to main content

Mah Sing beli tanah di Johor, bangunkan projek M Minori dengan GDV RM469 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Jun - Mah Sing Group Bhd. membeli tanah pegangan bebas baharu di Mukim Tebrau, Johor Bahru berkeluasan kira-kira 6.938 ekar dengan harga RM39.29 juta yang akan dibangunkan dengan projek M Minori.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, projek pembangunan bercampur itu memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM469 juta. 

 

Katanya, berdasarkan pelan awal dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, M Minori akan terdiri daripada 3 blok suite servis dengan unit 1 bilik tidur, 2 bilik tidur dan 3 bilik tidur, berkeluasan antara 550 hingga 880 kaki persegi.

 

"Projek itu menawarkan harga mampu milik dengan harga indikatif bermula daripada RM260,000 seunit.

 

"Cadangan pembangunan bercampur ini juga menampilkan beberapa lot runcit dengan perancangan untuk menyediakan perkhidmatan pandu lalu melalui kedai makanan dan minuman," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

mah sing
Peta menunjukkan lokasi projek M Minori yang bakal dibangunkan Mah Sing.

 

 

Terletak kira-kira 6.5 kilometer dari pejabat Mah Sing di Johor dalam kawasan perbandaran matang di Austin Perdana, projek itu menyasarkan pendaftaran dibuka pada suku keempat 2022.

 

M Minori, yang berinspirasikan minimalis Jepun menyasarkan pembeli dalam kalangan golongan muda yang mencari persekitaran lebih selesa dan selamat kerana kawalan akses yang lebih ketat pada harga berpatutan.

 

Hoy Kum menyifatkan pembelian tanah itu adalah transaksi Mah Sing yang pertama tahun ini didorong oleh kejayaan pangsapuri mampu milik siri M di pusat bandar dan rumah bersambung di kawasan pinggir bandar.

 

Katanya, kumpulan akan terus mencari tanah yang sama untuk membangunkan rumah mampu milik, mengutamakan tanah yang boleh menjana pulangan dengan kecekapan pemulihan.

 

"Sebahagian daripada kos tanah M Minori akan dibiayai menerusi hasil daripada pelupusan sebidang tanah di Permatang Tinggi, Pulau Pinang. 

 

"Ini adalah keputusan strategik untuk memberi lebih tumpuan kepada pengambilan yang baik dan pemulihan yang lebih singkat bagi jenis tanah kediaman M-Series untuk pembangunan hartanah mampu milik, selaras dengan permintaan pasaran," katanya.

 

Selain Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, lokasi lain dalam radar Mah Sing termasuklah koridor pertumbuhan tinggi di Seremban, Melaka dan Perak. - DagangNews.com