KUALA LUMPUR 8 April - LTKM Berhad mencadangkan untuk menjual perniagaan pengeluaran telur ayam sedia ada untuk menjadi penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).
Menerusi rombakan korporat itu, syarikat itu turut merancang untuk menukar nama syarikat kepada LA Technology Berhad.
Pengerusi Eksekutif LTKM, Datuk Tan Kok berkata, cadangan pelupusan perniagaan itu dibuat berikutan cabaran operasi landskap industri ayam itik selain purata harga jualan yang rendah, harga bahan mentah yang tinggi, kekurangan tenaga pekerja dan kesukaran mengawal penyakit di ladang.
"Berikutan cabaran-cabaran ini, kami mengalami kerugian dalam tahun kewangan terkini berakhir 31 Mac 2020 hingga 2021 dan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021.
“Selaras dengan cadangan pelupusan ini, kami yakin bahawa cadangan perolehan perniagaan EMS adalah satu peluang untuk mewujudkan nilai kepada pemegang saham kami melalui perniagaan yang lebih berdaya saing dan menguntungkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menerusi cadangan itu, Local Assembly Sdn. Bhd. yang juga penyedia EMS akan menjadi anak syarikat milik penuh LTKM dan menjadi pemegang saham berkepentingan dengan pegangan ekuiti 56.6% dalam syarikat berikutan cadangan perlohean dan cadangan terbitan terhad.

Menerusi pegangan saham dalam Divine Inventions, Pengerusi Eksekutif Chin Hin Group Berhad, Datuk Seri Chiau Beng Teik akan menjadi pemegang saham utama LTKM.
Mengikut cadangan perolehan itu, vendor telah memberi jaminan keuntungan kepada Local Assembly dengan minimum keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM28 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 atau tidak kurang daripada agregat RM50 juta PAT bagi kedua-dua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 2023.
Pemilik bersama dan Pengarah Urusan Local Assembly, Chai Voon Sun berkata, transaksi itu merupakan pencapaian besar untuk mereka dan pihaknya sentiasa menantikan fasa berikutnya dalam mempercepatkan pertumbuhan sebagai penyedia EMS.
"Menerusi cadangan itu kami boleh mengembangkan asas pelanggan dan menawarkan produk selain mencari lebih banyak peluang," katanya. - DagangNews.com








