KUALA LUMPUR 28 Mac - Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) mengumumkan cadangan baharu dalam mengembangkan perniagaan sektor pembangunan hartanah dan mengukuh kedudukan industri pembinaan.
Penyelesaian siri cadangan korporat ini akan memberikan LSH Capital tempahan pembinaan terjamin yang diperbesarkan berjumlah RM1.1 bilion secara agregat dengan buku pesanan tertunggak keseluruhan sebanyak RM782 juta.
Portfolio LSH Capital juga akan membawa projek pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.59 bilion yang dijangka akan menyumbang kepada pendapatan syarikat sehingga tahun 2026.
Selain itu, LSH Capital juga terlibat dalam projek pembinaan dan pembangunan hartanah berjumlah RM2.7 bilion melalui Kerjasama Rangka Kerja BEST (BEST Framework collaboration).
Kerjasama tersebut akan membolehkan kumpulan memperoleh bahagian tertentu dalam yuran untuk pelbagai usaha penciptaan nilai daripada pihak mereka.
Cadangan korporat itu melibatkan nilai pemerolehan gabungan sebanyak RM157.6 juta melalui pelaksanaan Perjanjian Jualan Saham untuk memperoleh 100% dalam Astana Setia Sdn Bhd (Astana Setia) sebanyak RM95 juta.
Perjanjian Pertukaran Aset dan Penyelesaian Hutang merangkap Perjanjian Langganan Saham dengan LSH Ventures Sdn Bhd (LSH Ventures) untuk nilai keseluruhan kira-kira RM62 juta untuk dipenuhi sepenuhnya melalui terbitan saham LSH Capital baharu pada 45 sen, yang memberikan premium 7.14% hingga 9.20% berbanding harga pasaran penutup pada 25 Mac 2022 dan harga purata wajaran volum 6 bulan.

LSH Capital juga akan mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk mengembangkan perniagaan terasnya termasuk perniagaan berkaitan hartanah dan pembinaan kerana perniagaan huluan bersepadu baharu itu dijangka menyumbang lebih daripada 25% daripada keuntungan bersih kumpulan untuk masa akan datang.
Pengerusi Bukan Eksekutif LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, sejak penyenaraian LSH Capital pada Pasaran LEAP bulan Julai 2021, ia memberikan ganjaran kepada pemegang saham dengan prestasi pendapatan kukuh pada tahun kewangan terkini berakhir 30 Sept, 2021 (TK2021) dan dividen sebanyak RM2.34 juta untuk memenuhi 30% penanda aras ditetapkan kumpulan.
"Latihan terbaru ini akan meletakkan kumpulan di landasan yang betul ke arah mengukuhkan kehadirannya dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah tempatan serta menjadi syarikat bernilai berbilion ringgit dalam jangka masa panjang," katanya. - DagangNews.com








