KWAP tawar hadiah RM50,000 iktiraf pesara aktif menyumbang kepada masyarakat menerusi Anugerah MyPesara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWAP tawar hadiah RM50,000 iktiraf pesara aktif menyumbang kepada masyarakat menerusi Anugerah MyPesara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelawa semua pesara kerajaan dan sektor awam untuk menyertai Anugerah MyPesara yang dianjurkan pada tahun ini. 

 

KWAP memaklumkan, anugerah ini bertujuan untuk menggalakkan pesara dan bakal pesara untuk terus terlibat dan menyumbang secara positif kepada masyarakat semasa fasa persaraan mereka.

 

Katanya, pencalonan bagi Anugerah MyPesara terdiri daripada tiga kategori iaitu Pendidikan, Sosial dan Khidmat Masyarakat serta Keusahawanan.

 

"Ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang sedang menerima pencen bulanan daripada pihak kerajaan dan berumur 55 tahun ke atas serta telah bersara daripada perkhidmatan awam persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan kecuali pesara angkatan tentera Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, pemenang hadiah utama Anugerah MyPesara akan menerima wang tunai sebanyak RM50,000, trofi dan sijil penghargaan. 

 

"Tiga pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan sijil penghargaan setiap seorang, manakala wang tunai sebanyak RM3,000, trofi dan sijil penghargaan akan diberikan kepada lima penerima hadiah sagu hati bagi setiap kategori," katanya.

 

Katanya, para pesara sektor awam yang berminat untuk menghantar penyertaan mereka untuk Anugerah MyPesara boleh berbuat demikian bermula 10 Oktober sehingga 10 November 2023. 

 

Penghantaran borang dan dokumen penyertaan boleh dibuat melalui emel ke [email protected], secara pos atau hadir ke mana-mana pejabat KWAP di Kuala Lumpur atau Cyberjaya, serta di beberapa program Jelajah MyPesara yang diadakan sepanjang tempoh tersebut. 

 

Untuk maklumat lanjut dan bagi mendapatkan borang pencalonan, sila layari www.kwap.gov.my/anugerahmypesara. Pemenang Anugerah MyPesara akan diumumkan pada 14 Disember 2023 dalam sebuah majlis penganugerahan.

 

Sepanjang tahun ini, KWAP telah menganjurkan Jelajah MyPesara di seluruh negara dengan menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat kepada bakal pesara tentang pelbagai aspek persaraan termasuk literasi kewangan, keusahawanan dan penjagaan kesihatan yang berlangsung sehingga akhir tahun ini. 

 

Sebagai penutup kepada Jelajah MyPesara ini, KWAP juga akan mengadakan Karnival MyPesara yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 November 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam.

 

Menerusi slogan “Teman Persaraan Anda”, KWAP komited dalam memperkasa pesara sektor awam melalui inisiatif MyPesara yang merupakan pendekatan secara holistik untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan mereka sepanjang tempoh persaraan. - DagangNews.com