KUALA LUMPUR 8 Mac - Kenaikan harga minyak secara berterusan dibimbangi akan meningkatkan lagi tekanan inflasi sekiranya tiada sebarang langkah dilaksanakan kerajaan bagi menangani situasi tersebut.
Menurut CGS-CIMB Research, terdapat mekanisme yang boleh dilaksanakan untuk menghapuskan subsidi tanpa menjejaskan penggunaan dengan teruk.
Jelasnya, keputusan kerajaan untuk menyelaraskan subsidi bahan api akan melangkaui faktor fiskal, memandangkan impak ekonomi, politik dan sosial perlu diambil kira.
"Sebagai contoh, kerajaan boleh meningkatkan pemberian tunai kepada golongan yang disasarkan dan pada masa sama mengurangkan subsidi.
"Langkah ini sebenarnya, dapat membantu mengurangkan kesan harga yang lebih tinggi terhadap golongan yang paling terdedah.
"Ini kerana kebimbangan utama kami ialah inflasi, kerana ia akan meningkat selepas penyelarasan bahan api dilaksanakan, walaupun sebelum itu, terdapat kesan buruk yang terhad terhadap penggunaan dan pertumbuhan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mengekalkan unjuran inflasi utama tahun ini sebanyak 2.5% meskipun terdapat risiko peningkatan.
Anggaran semasa ini, katanya, mengambil kira harga komoditi yang menyederhana pada separuh kedua 2022 dan kerajaan mengekalkan subsidi tidak berubah sepanjang tahun ini.
"Bagaimanapun, anggaran ini akan disemak semula setelah meneliti perkembangan semasa dengan teliti," jelasnya.
Harga minyak mentah Brent seperti dilaporkan Reuters awal pagi ini, melonjak lebih daripada AS$139 setong, mencecah paras tertinggi sejak 2008, akibat memuncaknya krisis Rusia-Ukraine.
Sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, harga minyak Brent sudah meningkat sebanyak 33%.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (IB) Research menganggarkan dengan kenaikan harga minyak Brent pada AS$100 setong, ia akan meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM25.1 bilion dan kos subsidi bahan api berjumlah RM20.4 bilion, dan menyebabkan impak fiskal bersih sebanyak RM4.8 bilion atau 0.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, dengan mengambil kira harga subsidi bahan api bagi petrol RON95 dan diesel masing-masing pada RM2.05 per liter dan RM2.15 per liter sejak akhir Februari 2021, dianggarkan kenaikan setiap AS$10 setong akan meningkatkan kos subsidi bahan api setahun penuh sebanyak RM6.1 bilion.
"Memandangkan bahan api merangkumi 8.5% daripada indeks harga pengguna (IHP), dengan memansuhkan subsidi bahan api bagi RON95 dan diesel akan meningkatkan kadar inflasi sebanyak 4.5 mata peratusan.
"Dengan itu, kami kini menjangkakan kadar inflasi bagi 2022 pada 2.7% berbanding unjuran kerajaan pada 2.1%," katanya.
Pada 3 Mac lalu, Bank Negara Malaysia berkata, inflasi keseluruhan pada 2022 diunjur kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api semakin luput.
Kenyataan itu membayangkan subsidi harga bahan api akan diteruskan sejak ia dilaksanakan pada Februari 2021, tambah Maybank IB.
Firma itu melihat kepada 2 situasi yang berlaku sebelum ini apabila harga minyak Brent melepasi AS$100 setong.
Pada Oktober 2007 hingga September 2008, kerajaan meningkatkan harga bahan api domestik sebanyak 40.4% pada 4 Jun 2008 berikutan ketidaktentuan kos fiskal subsidi bahan api, yang mana menyaksikan inflasi melonjak daripada 3.8% pada Mei kepada 8.5% antara Julai hingga Ogos 2008.
"Begitu juga, kadar inflasi meningkat antara akhir 2010 dan pertengahan 2011 apabila Brent terus meningkat memandangkan kerajaan memulakan satu lagi pusingan rasionalisasi subsidi bahan api pada pertengahan 2010 dan sekali lagi pada 2014," jelasnya. - DagangNews.com








