Kumpulan NAZA ceburi bidang perladangan durian 809.3 hektar di Raub, Pahang | DagangNews Skip to main content

Kumpulan NAZA ceburi bidang perladangan durian 809.3 hektar di Raub, Pahang

Dari kiri, SM Faliq SM Nasimuddin, Nur Nadia SM Nasimuddin, Nur Diana SM Nasimuddin dan SM Nasarudin SM Nasimuddin.

KUALA LUMPUR 23 Jun – NAZA Corporation Holdings Sdn Bhd mengumumkan usaha niaga baharunya, projek perladangan durian di bawah NAZA Agro Plantation, pada majlis pecah tanah di Raub, Pahang pada Khamis.

 

NAZA Agro telah memulakan fasa pertama projek untuk mengusahakan kira-kira 234.7 hektar daripada 809.3 hektar  tanah di Raub untuk durian, dengan tumpuan khusus kepada Musang King dan varian premium lain.

 

Usaha niaga NAZA Agro menyasarkan untuk menyumbang kepada eksport durian Malaysia daripada fasa pertama penghasilan pada 2027, menumpukan kepada varian musang king yang sangat diminati, yang telah menunjukkan peningkatan permintaan global, terutamanya dari China, Singapura, dan Hong Kong.

 

Berdasarkan laporan, Pasaran Durian Global bernilai AS$24.90 bilion pada tahun 2023 sahaja. Menjelang akhir tahun 2033, pasaran ini akan melepasi penilaian sebanyak AS$49.91 bilion, menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun yang luar biasa sebanyak 7.2% antara 2023 dan 2033.

 

Walaupun Thailand kini menguasai pasaran, dengan lebih 90% eksport global, bahagian eksport Malaysia kekal kurang daripada 5%.

 

Menurut laporan itu, variasi Musang King Malaysia, yang sangat digemari oleh pembeli dari China, kini menghadapi kekurangan bekalan daripada syarikat Malaysia dan ini memberi peluang keemasan kepada Naza untuk meningkatkan bekalan dan memenuhi pasaran eksport.

 

 

naza agro
Fasa pertama 234.7 hektar daripada 809.3 hektar projek Naza Agro penanaman durian di Raub, Pahang

 


Dengan menggunakan teknologi dan Internet of Things (IoT), NAZA Agro telah melabur dalam satu sistem pengairan dan fertigasi teratas, sistem unggul yang mampu menyediakan pengairan ketepatan untuk pertumbuhan yang lebih tinggi dan hasil yang lebih baik dalam semua corak iklim, jenis tanah atau topografi.

 

Ladang itu juga meneroka penggunaan Digital Agriculture Technology (AgTech) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Sebagai tambahan kepada peluang ekonomi untuk NAZA Agro, industri durian mempunyai potensi besar untuk masyarakat tempatan dari segi penciptaan pekerjaan serta menyumbang kepada peningkatan taraf ekonomi penduduk tempatan Raub.

 

Dengan mengusahakan Musang King yang premium, ladang itu merancang untuk memanfaatkan segmen pasaran yang menghargai hasil beretika, berkualiti tinggi, membolehkan ladang memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk buah yang luar biasa ini, di samping menggalakkan kelestarian dan amalan pertanian yang bertanggungjawab.

 

NAZA Agro telah melantik Top Fruits Sdn Bhd, salah satu pengeksport utama durian premium ke China dan negara lain, sebagai Rakan Strategik.

 

NAZA Agro berharap dapat memanfaatkan pengalaman luas mereka dalam industri durian serta kepakaran dalam kedua-dua aktiviti huluan dan hiliran untuk mengembangkan aktiviti hiliran pada masa hadapan.

 

Ladang NAZA Agro terletak di antara Banjaran Titiwangsa yang megah dan Banjaran Gunung Benom, mempunyai topografi yang terbaik di Mukim Semantan Ulu di Raub. Iklim di kawasan lokasi utama ini dengan suhu dan tahap kelembapan optimum, mewujudkan persekitaran yang ideal untuk pokok durian berkembang dan menghasilkan buah-buahan yang berkualiti tinggi.

 


Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh pemegang saham Kumpulan NAZA iaitu, SM Nasarudin SM Nasimuddin, SM Faliq SM Nasimuddin, Nur Diana SM Nasimuddin, dan Nur Nadia SM Nasimuddin, serta Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan NAZA. - DagangNews.com