KTMB tawar perlindungan takaful kepada penumpang tren ETS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KTMB tawar perlindungan takaful kepada penumpang tren ETS

Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) bersama Datuk Musa Sheikh Fadzir (tengah) ketika Majlis Pelancaran KITS Perlindungan Takaful Penumpang di KL Sentral.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) buat julung kalinya memperkenalkan takaful perlindungan kepada pengguna dan penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) bermula hari ini melalui aplikasi KTMB Integrated Ticketing System (KITS). 

 

Takaful perlindungan fasa berikutnya akan diperkenalkan bagi perkhidmatan KTM Intercity untuk Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran pada Oktober tahun ini. 

 

Inisiatif ini diusahakan dengan kerjasama pihak Etiqa dalam memberikan satu nilai tambah baharu yang menawarkan takaful berkonsepkan patuh shariah kepada penggunanya. 

 

KTMB mengambil langkah proaktif menawarkan pilihan pelan takaful perlindungan seiring dengan pemain-pemain industri pengangkutan lain seperti pengangkutan udara dalam memastikan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren dilindungi.

 

Dua jenis pelan takaful ditawarkan iaitu pelan asas dan pelan premium. Pengguna layak mendapat perlindungan sehingga RM25,000 sekiranya berlaku kemalangan, insiden yang tidak diingini atau kehilangan bagasi. 

 

Selain perlindungan asas, pelan premium turut menawarkan perlidungan tambahan sehingga RM50,000 mengikut terma dan syarat yang ditetapkan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pengguna boleh memilih untuk membeli pelan takaful premium dengan hanya RM1.50 untuk menikmati faedah-faedah yang ditawarkan. 

 

 

KTMB

 

 

"Dengan adanya pelan takaful di aplikasi KITS, penumpang akan lebih yakin menggunakan perkhidmatan tren serta membantu meredakan kebimbangan mereka untuk ke destinasi pilihan masing-masing. 

 

"Penumpang-penumpang tidak perlu lagi risau kerana perlindungan takaful ini membolehkan mereka menikmati perjalanan yang selamat dan lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

KTMB

 

 

Perlindungan ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih sejuta penumpang ETS yang menggunakan perkhidmatan ETS.

 

Terdahulu, KTMB telah mengadakan Majlis Pelancaran KITS Perlindungan Takaful Penumpang yang dirasmikan oleh Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir bersama Mohd Rani Hisham Samsudin di KL Sentral.  

 

 

KTMB

 

 

Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang di www.ktmb.com.my. 

 

Pertanyaan lanjut mengenai takaful perlindungan, hubungi talian 1-300-13-8888 atau email [email protected]. - DagangNews.com