KUALA LUMPUR 11 Mei - KPower Bhd. menerusi unitnya, Mikrogrid Lestari Sdn. Bhd. terpilih sebagai salah satu pembida yang berjaya di bawah pelaksanaan e-bidaan bagi feed-in-tariff (FiT) untuk loji tenaga hidro mini yang dikendalikan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda).
Mikrogrid Lestari dimiliki 55% oleh KPower RE Sdn. Bhd., yang juga dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pembinaan itu.
Menurut KPower, bidaan yang dimenangi itu adalah untuk membina loji tenaga hidro mini di Gua Musang, Kelantan dengan jumlah kapasiti 40.4MW dengan kadar FiT pada 22.49 sen per kilowatt jam.
"Sijil kelulusan akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Seda," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pembidaan kompetitif untuk permohonan kuota FiT untuk biogas, biojisim dan sumber tenaga hidro mini telah dibuka oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, melalui badan berkanunnya, Seda, pada Jun 2021.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Eksekutif KPower, Mustakim Mat Nun berkata, ia merupakan kemenangan bidaan terbuka kedua kumpulan selepas memperoleh kontrak solar pada 2021.
Katanya, perolehan itu membolehkan kumpulan mempelbagaikan portfolio pendapatan melalui solar dan hidro.
"Dengan memenangi bidaan dan cadangan baru-baru ini, pemilikan aset kami di bawah spektrum tenaga boleh diperbaharui akan menjana melebihi 120MW.
"Ini sekali gus akan mengukuhkan pendapatan berulang berasaskan konsesi untuk tempoh jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








