KUALA LUMPUR 10 Mei - Kossan Rubber Industries Bhd. masih berdepan prospek mencabar ekoran tekanan inflasi yang dilihat secara berterusan mempengaruhi industri sarung tangan getah, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma itu berkata, dalam taklimat bersama pengurusan kumpulan baru-baru ini, Kossan menjangkakan harga sarung tangan getah akan menurun pada suku kedua 2022, sebelum kembali meningkat pada separuh kedua disokong kos inflasi.
Pada masa sama, katanya, kadar penggunaan juga dijangka kembali pulih kepada tahap 70 hingga 80% pada separuh kedua (berbanding 70% ketika ini) selepas selesainya aktiviti pengeluaran inventori oleh pembeli sarung tangan getah.
"Walaupun prospek mula bertambah baik bagi pengeluar sarung tangan getah seperti Kossan, tetapi kami percaya pemain industri secara keseluruhannya belum keluar daripada kesukaran yang dihadapi, memandangkan tekanan kos inflasi yang masih berlarutan.
"Keupayaan untuk menaikkan harga sudah pasti akan membantu mengurangkan tekanan margin pada masa hadapan, namun, kami berpendapat langkah ini masih agak mencabar kepada pengeluar sarung tangan getah untuk melepaskan sepenuhnya keseluruhan peningkatan kos kepada pembeli," katanya dalam nota kajian hari ini.
Malah, Kossan juga tidak mengambil langkah terburu-buru untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya disebabkan kapasiti terbiar sedia ada dan kos pelaburan yang lebih tinggi untuk membina kilang baharu.
Memandangkan barisan pengeluaran Kossan tidak beroperasi sepenuhnya pada masa ini, kumpulan sepatutnya mempunyai kapasiti pengeluaran yang mencukupi untuk memenuhi kemasukan tempahan.
Selain itu, kumpulan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja, selain ke arah memastikan pendigitalan penuh untuk memacu kemampanan dalam perniagaannya.
Selepas mengambil kira semua faktor berkenaan, HLIB buat masa ini mengekalkan unjuran hasil Kossan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
"Tetapi, kami menaikkan unjuran bagi FY23-FY24 sebanyak 12 hingga 14% selepas mengambil kira faktor positif dalam ramalan kami," jelasnya.
Firma itu menjangkakan kumpulan hanya akan berdepan impak yang minimum daripada pelaksanaan Cukai Makmur memandangkan hasil yang dijananya tersebar di 4 anak syarikat yang berbeza.
"Hasil bagi setiap entiti ini dijangka tidak melebihi penanda aras RM100 juta dengan ketara," tambahnya.
Secara keseluruhan, ia menaikkan penarafan Kossan kepada 'pegang' berbanding 'jual' sebelum ini dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.97 daripada RM1.53 sesaham.
Setakat 10.01 pagi ini, harga saham Kossan kekal tidak berubah pada RM1.86 dengan 330,900 saham diniagakan. - DagangNews.com








