Kopasar, PS Group bentuk kerjasama strategik tingkatkan imej produk koperasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kopasar, PS Group bentuk kerjasama strategik tingkatkan imej produk koperasi

KOPASAR dan PS Group menjalin kerjasama bagi meningkatkan imej produk koperasi menerusi kaedah pembungkusan agar dapat berkembang serta menerokai pasaran domestik dan antarabangsa.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai - Koperasi Pasaraya Malaysia Berhad (Kopasar) bersama syarikat makanan dan minuman (F&B), PS Group memeterai memorandum persefahaman (MoU) menjalinkan kerjasama sebagai rakan strategik perkhidmatan pemasaran dan penambahbaikan pembungkusan agar produk koperasi dapat meneroka pasaran lebih luas.  

 

Pengerusi Kopasar, M. Nasir Ramli berkata, peranan koperasi itu adalah untuk memasarkan produk F&B dan perkhidmatan membantu penambahbaikan pembungkusan supaya dapat berkembang dan menerokai pasaran domestik serta antarabangsa. 

 

“Dengan adanya kerjasama strategik ini, permasalahan dihadapi oleh koperasi dan usahawan dapat diselesaikan dan memberikan peluang baharu buat koperasi. 

 

“Kebanyakan koperasi berhadapan dengan cabaran untuk menaik taraf pembungkusan produk sedia ada sekali gus menepati standard pasaran domestik dan eksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, pemasaran dan pembungkusan produk penting dan menjadi penentu kejayaan pelan perniagaan sesebuah koperasi selain kualiti produk yang bagus mampu memikat pelanggan sama ada dalam atau luar negara.

 

"Sehubungan itu, koperasi seharusnya melakukan transformasi sehabis baik berkenaan dengan reka bentuk dan idea pembungkusan bagi produk diketengahkan agar dapat mempromosikan jenama koperasi ke tahap lebih jauh," katanya.

 

Turut hadir menandatangani MoU, Pengarah Urusan Kumpulan PS Group, IR Mohd Zain Harun dan disaksikan Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA), Datuk Kamarudin Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah; Pengerusi Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Abdul Razak Hussein dan Pengerusi Kelab Pesara Malaysia, Datuk Abdullah Mahfoz. 


 
PS Group merupakan milikan penuh 100% Bumiputra dan mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi pembungkusan dan pemprosesan produk minuman yang dijamin halal dan mempunyai aset berteknologi tinggi dan berkeupayaan untuk memenuhi pasaran dalam dan luar negara. 

 

PS Group memberi tumpuan untuk mempertingkatkan rangkaian produk dan bakal mengeluarkan produk makanan iaitu santan dan susu. - DagangNews.com