KUALA LUMPUR 6 Sept - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad menyasar berada di kedudukan Koperasi Premier dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menjelang 2026.
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik tiga tahun iaitu daripada 2025 hingga 2027.
“Rancangan kami menumpukan kepada pertumbuhan inovasi, pemantapan anggota dan menembusi pasaran global bagi meningkatkan manfaat kepada anggotanya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.
Koop Sahabat telah diiktiraf sebagai Koperasi ke-2 terbaik negara semasa Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Terbaik Malaysia 2024 serta penyampaian Anugerah Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024 oleh SKM.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Mohd Najib turut berkata, anugerah itu merupakan pencapaian terbaik bagi Koop Sahabat yang telah berada dalam kelompok lima koperasi terbaik bagi dua tahun berturut-turut sejak tahun 2023.
Di samping itu, Koop Sahabat menjelaskan, pengiktirafan itu berdasarkan kecemerlangannya dalam tadbir urus dan peningkatan prestasi yang direkodkan pada tahun semasa.
“Pencapaian ini menyaksikan Koop Sahabat sebagai sebuah koperasi yang diyakini dan berdaya saing di negara ini walaupun dalam usia 12 tahun penubuhanya.
“Pengiktirafan ini juga didedikasikan juga kepada lebih 450,000 orang anggota diseluruh Malaysia yang terus menerus memberi sokongan dan keyakinan kepada Anggota Lembaga dan Pengurusan Tertinggi untuk mentadbir koperasi.
Sementara itu, Mohd Najib berkata, usaha tersebut merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 disamping dapat memberi keyakinan yang kukuh kepada para anggotanya.
Beliau menegaskan koperasi komited untuk mencapai matlamat tersebut dengan menerapkan pelbagai strategi yang menyeluruh.- DagangNews.com