Kontrak JPJ kepada HeiTech Padu untuk 3 tahun, Anthony Loke jelaskan dakwaan nilai kontrak tinggi | DagangNews Skip to main content

Kontrak JPJ kepada HeiTech Padu untuk 3 tahun, Anthony Loke jelaskan dakwaan nilai kontrak tinggi

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bernilai RM190.1 juta kepada HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu) adalah untuk tempoh tiga tahun.

 

Menjawab soalan pemberita mengenai nilai kontrak tersebut yang didakwa tinggi, Loke berkata, nilai itu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan yang perlu dilaksanakan dalam tempoh kontrak.

 

"Ia membabitkan kontrak penyelenggaraan untuk tiga tahun bagi software (perisian) dan pekakasan (hardware) termasuk pelayan MySikap di Pusat JPJ," katanya.

 

Beliau terdahulu melancarkan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), EVlution bersama MasterCard dan RHB Bank, di ibu negara hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech Padu terima kontrak RM190 juta daripada JPJ selenggara infrastruktur ICT, sistem mySIKAP

 

HeiTech Padu dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia memaklumkan menerima kontrak bernilai RM190.01 juta daripada JPJ.

 

Kontrak selama 36 bulan itu bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027 bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal infrastruktur ICT serta Sistem Informasi Kenderaan dan Pemandu (mySIKAP) di pusat data dan semua pejabat JPJ.

 

 

wainuiomata

 

 

Pada Julai 2023, HeiTech Padu memaklukan menerima lanjutan kontrak RM54.3 juta untuk perkhidmatan teknikal JPJ.

 

Bagi 2024, HeiTech Padu telah memperoleh dua kontrak kerajaan, pertama bernilai RM58.89 juta untuk perkhidmatan rangkaian generasi akan datang untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri yang diumumkan pada Januari.

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech terima kontrak RM58.9 juta daripada LHDN bagi perkhidmatan rangkaian internet generasi akan datang

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech Padu terima lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta selenggara sistem myIMMs Jabatan Imigresen

 

Satu lagi ialah lanjutan kontrak pada Mac bernilai RM13.11 juta daripada Jabatan Imigresen untuk penyelenggaraan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

 

Ahli perniagaan, Datuk Farhash Wafa Salvador menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

 

Bekas pemimpin PKR itu berkata, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki bersama dengan Sultan Muhammad V, bukannya milik mutlaknya sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

 

Rosetta Partners Sdn Bhd, memperoleh 15.91% pegangan HeiTech Padu pada bulan lepas. 

 

Farhash, bekas pembantu politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan sebarang penglibatan dalam kerajaan.- DagangNews.com