Kontrak baharu RM111.6 juta KKB Engineering dalam jangkaan, RHB kekal saranan ‘beli’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak baharu RM111.6 juta KKB Engineering dalam jangkaan, RHB kekal saranan ‘beli’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Kontrak tempahan pembelian yang diperoleh KKB Engineering Berhad daripada Samsung Engineering (M) Sdn Bhd dianggarkan memberi buku pesanan tertunggak terkini kira-kira RM700 juta, kata RHB Investment.

 

Melalui anak syarikatnya OceanMight, KKB telah menerima kontrak tempahan pembelian bernilai RM111.6 juta daripada Samsung Engineering untuk modul fabrikasi dan pembekalan struktur keluli bagi loji gas darat Malaysia Shell Rosmari dan Marjoram (R&M) di Bintulu dan akan disiapkan dalam suku ketiga tahun 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini adalah kemenangan kontrak kedua setakat ini bagi tahun 2023, di mana yang pertama adalah pada bulan Januari bernilai RM351.7 juta untuk penyediaan EPC bagi tiga platform kepala telaga standard untuk Sarawak Shell dan pesanan pembelian daripada Kontraktor Seri Ghanimi untuk membekalkan paip keluli.

 

Menurut firma itu, kontrak baharu tersebut telah dijangka memandangkan KKB Engineering telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Samsung Engineering pada Oktober 2021 untuk bekerjasama dalam projek tertentu.

 

“Oleh itu, kami berpendapat bahawa KKB Engineering mungkin terus menjadi pendahulu untuk lebih banyak pekerjaan fabrikasi perindustrian, bukan sahaja minyak dan gas, di bawah Samsung Engineering,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, firma itu tidak mengubah ramalan pendapatan kerana pekerjaan terbaharu ini berada dalam unjuran kemenangan kontrak baharu FY23 sebanyak RM600 juta.

 

Menurut firma itu, pemangkin perubahan adalah Projek Hidroelektrik Mentarang Induk bernilai AS$2.6 bilion di Kalimantan Utara memandangkan kumpulan itu telah terlibat dalam projek Empangan Hidroelektrik Bakun pada tahun 2008.

 

Potensi kemenangan kerja fabrikasi juga mungkin datang daripada Projek Tangkapan & Penyimpanan Karbon Kasawari memandangkan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) merupakan kontraktor perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC)," jelasnya.

 

KKB sebelum ini telah terlibat dalam dua projek MMHE iaitu di Jerun dan Kasawari.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM1.72 sesaham.

 

Setakat pukul 10:39 pagi hari ini, saham KKB Engineering menokok 7sen atau 5% kepada RM1.47 sesaham, memberinya permodalan pasaran berjumlah RM424.4 juta. -DagangNews.com