Konflik Laut Merah terus mengganggu perdagangan Asia-Eropah, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Konflik Laut Merah terus mengganggu perdagangan Asia-Eropah, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Kenanga Research kekal 'neutral' terhadap prospek sektor pelabuhan dan logistik ekoran konflik Laut Merah yang terus mengganggu perdagangan Asia-Eropah.

 

Katanya, satu pertiga daripada jumlah kontena global menggunakan laluan Asia-Eropah tetapi konflik berterusan di Asia Barat telah memberi tekanan ke atas perdagangan kedua-dua benua itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, lencongan dari Terusan Suez ke Tanjung Harapan, menjadikan pelayaran lebih panjang untuk laluan Asia-Eropah dan mengurangkan kekerapan perkhidmatan perkapalan boleh dibuat di Westports Holdings Bhd dan semua pelabuhan lain di rantau ini.

 

Selain itu katanya, perdagangan global perlu berdepan peraturan yang lebih ketat mengenai pelepasan karbon.

 

"Ini mungkin menimbulkan cabaran baharu kepada perdagangan global, terutamanya daripada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan satu lagi daripada Kesatuan Eropah (EU).

 

"Walaupun kesan tepat peraturan IMO dan Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) Kesatuan Eropah (EU) terhadap sektor pelabuhan dan logistik masih tidak jelas," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research berkata, sejumlah 18% daripada kontena yang menuju ke EU akan terjejas apabila menggunakan laluan perdagangan Asia-Eropah.

 

Katanya, kontena yang berasal dari China akan menghadapi kesan buruk daripada peraturan itu kerana negara itu merupakan pengeksport utama besi, keluli dan aluminium ke Eropah.

 

"Di bawah peraturan IMO baharu, semua kapal mesti melaporkan kadar intensiti karbon mereka dan akan dinilai dengan sewajarnya. 

 

"Setiap kapal mesti melakukan pembaharuan tahunan sebanyak 2% dalam intensiti karbon bermula 2023 hingga 2030 atau berdepan risiko dikeluarkan daripada perkhidmatan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dasar CBAM EU boleh memberi kesan kepada eksport barangan lain ke Eropah merangkumi besi, keluli, simen, aluminium, baja dan hidrogen. - DagangNews.com