Komitmen Mydin jual telur hasil ternakan tanpa sangkar raih pujian Lever Foundation | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Komitmen Mydin jual telur hasil ternakan tanpa sangkar raih pujian Lever Foundation

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 

KUALA LUMPUR 17 April - Mydin Malaysia telah meraih pujian atas komitmen syarikat untuk menjual hanya telur hasil ternakan tanpa sangkar di semua lokasinya di seluruh negara menjelang 2030.

 

Menurut satu kenyataan di laman web syarikat, Mydin berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pembekal dan pelanggan untuk mencapai matlamat penjualan 100% telur bebas sangkar di pasarayanya menjelang 2030.

 

“Peralihan akan dimulakan di pasaraya terpilih mulai Mac 2023 dan diperluaskan ke semua cawangan seluruh Malaysia,” tambahnya.

 

Peralihan ini akan dilaksanakan di semua 66 pasar raya, emporium dan kedai runcit syarikat di seluruh negara.

 

Lever Foundation merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang bekerjasama dengan syarikat makanan terkemuka di Malaysia dan di seluruh rantau ini bagi membantu menaik taraf  sumber protein mereka dalam mencapai rantaian bekalan lebih berperikemanusiaan, selamat dan mampan, dengan tumpuan kepada telur hasil ternakan tanpa sangkar dan protein alternatif.

 

Pengurus Program Kelestarian Lever Foundation, Vilosha Sivaraman berkata, matlamat baharu Mydin itu menunjukkan semangat dan perhatian syarikat dalam usaha menyediakan produk berkualiti tinggi dan mampan untuk para pengguna dan bakal menjadi contoh kepada peruncit lain di Malaysia.

 

“Kami mengucapkan tahniah kepada Mydin yang menetapkan matlamat penjualan telur daripada ternakan tanpa sangkar ini yang akan terus meningkatkan keselamatan dan kualiti makanan untuk pengguna serta turut menambah baik kebajikan ayam,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut NGO tersebut, pertubuhan perlindungan haiwan dan keselamatan makanan di seluruh dunia menggalakkan peralihan kepada telur yang terhasil daripada ternakan tanpa sangkar, yang lebih berperikemanusiaan kepada haiwan dan lebih selamat kepada golongan pengguna.

 

Penyelidikan yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah dan pihak lain mendapati bahawa telur hasil ternakan tanpa sangkar adalah 25 kali ganda kurang dicemari dengan strain utama salmonella berbanding dengan ayam yang diternak di dalam sangkar, di mana pengeluaran telur sangkar bateri sudah diharamkan di seluruh Kesatuan Eropah serta di Australia, New Zealand, UK, Kanada, India dan sebahagian Amerika Syarikat.

 

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak jenama makanan yang berikrar untuk menggunakan hanya telur daripada ternakan tanpa sangkar di seluruh Asia.

 

Di Malaysia, restoran dan kafe seperti Old Town White Coffee dan O’Briens Irish Sandwich Cafe, serta Kumpulan Hospitaliti seperti Hotel Hatten, Ascott Malaysia dan Banyan Tree, adalah antara pelbagai syarikat yang sudah menetapkan garis masa masing-masing untuk beralih kepada penggunaan telur daripada ternakan tanpa sangkar sahaja,” tambahnya. -DagangNews.com