SPM 2024: 8,000 Pelajar Hilang – Selamat Datang ke Era “Saya Tak Perlu Belajar untuk Berjaya” | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPM 2024: 8,000 Pelajar Hilang – Selamat Datang ke Era “Saya Tak Perlu Belajar untuk Berjaya”

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

Jika 8,000 orang tiba-tiba `hilang' di Alor Setar, Kangar, Johor Bahru, Ipoh, dan Kota Kinabalu dalam satu malam, seluruh negara pasti panik.

 

Polis akan berkawal, helikopter akan berlegar, dan media akan bersidang setiap jam. Ah, pemimpin politik pula sudah pasti akan berebut untuk membuat kenyataan, kononnya prihatin terhadap nasib rakyat.

 

Tetapi apabila 8,076 pelajar memilih untuk tidak hadir ke Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, negara tetap berjalan seperti biasa. Tidak ada sebarang kecemasan, tiada mesyuarat tergempar, dan tiada siasatan mendalam dilakukan.

 

Yang ada hanyalah skrip basi yang kita ulang setiap tahun: “Budak-budak sekarang malas.”

 

Ya, kerana tentu sahaja kemalasan adalah satu-satunya sebab logik untuk fenomena ini. Tiada sebab lain yang patut kita fikirkan. Tak perlu tanya kenapa mereka tak hadir. Tak perlu selidik punca. Kita hanya perlu menyalahkan mereka dan terus bergerak ke depan.

 

Ponteng SPM: Kemalasan atau Kegagalan Sistem?

Jika pendidikan adalah alat yang paling penting untuk berjaya, kenapa ramai yang memilih untuk keluar dari sistem ini?

 

Realitinya, tidak semua 8,076 pelajar yang ponteng SPM malas atau tidak berdisiplin. Ada yang terpaksa bekerja kerana tekanan ekonomi keluarga. Ada yang bergelut dengan kesihatan mental yang tidak pernah dipedulikan oleh sesiapa. Ada juga yang merasakan pendidikan ini tidak membawa mereka ke mana-mana.

 

Dan lebih membimbangkan, ada yang sudah menerima doktrin baharu: kejayaan tidak lagi bergantung pada pendidikan, tetapi pada ‘hustle’ dan ‘shortcut’ di dunia digital.

 

Ini bukan sekadar masalah individu. Ini adalah kegagalan kolektif.

 

 

eksponen

 

 

SPM? Untuk Apa? Ada Forex, TikTok dan Sifu!

Salah satu trend paling membimbangkan dalam kalangan anak muda hari ini ialah kepercayaan bahawa mereka boleh berjaya tanpa perlu berusaha keras.

 

Di media sosial, terdapat terlalu banyak “pakar kewangan” dan “sifu bisnes” yang menjanjikan jalan pintas untuk menjadi kaya tanpa pendidikan formal.

 

Tetapi benarkah ia semudah itu? Sudah tentu TIDAK! Hakikatnya, kejayaan dalam dunia digital bukan sekadar mimpi kosong, tetapi satu bidang yang memerlukan usaha, ilmu, dan strategi yang jelas.

Influencer yang berjaya bukan sekadar membuat video tarian viral, tetapi memahami bagaimana algoritma bekerja, cara membina jenama, dan teknik mempengaruhi audiens.

 

Usahawan yang berjaya tidak sekadar membuka akaun Shopee, tetapi tahu bagaimana mengurus logistik, menilai permintaan pasaran, dan menetapkan harga dengan strategi yang betul.

 

Pedagang saham profesional pula tidak hanya bergantung pada “signal Telegram”, tetapi memahami hubungan ekonomi global, corak pasaran, dan pengurusan risiko jangka panjang. Mereka juga tidak menjual kelas berharga RM599 walaupun baru sehari belajar mengenali candlestick.

 

Tidak salah jika mereka mahu memilih laluan selain akademik. Tetapi pastikan ada perancangan yang realistik dan bukannya sekadar percaya kepada mimpi manis tanpa asas yang kukuh.

 

Dalam dunia yang penuh dengan persaingan, kepercayaan kepada jalan pintas boleh menjadi musuh utama kejayaan sebenar.

 

Kaoru Mitoma: Kalau Bakat Pun Tak Cukup, Apa Lagi Tanpa Ilmu?

Baiklah, mari kita ambil contoh seseorang yang benar-benar berbakat. Kaoru Mitoma.

 

Jika ada individu yang mempunyai alasan kukuh untuk meninggalkan akademik, dia adalah orangnya. Seorang pemain bola sepak berbakat besar, yang pada usia muda sudah cukup hebat untuk menjadi pemain profesional.

 

Tetapi apa yang Mitoma lakukan?

 

Dia tidak terus menyertai kelab bola sepak dan mengaut keuntungan besar. Sebaliknya, dia memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Tsukuba di Jepun – kenapa?

 

Kerana dia tahu bakat sahaja tidak memadai. Mitoma menulis tesis akademik tentang teknik dribbling dalam bola sepak, di mana dia menggunakan kaedah saintifik untuk menganalisis pergerakan tubuhnya sendiri semasa menggelecek bola.

 

 

parafrasa

 

 

Berkat pemahamannya yang lebih mendalam terhadap sains sukan dan analitik pergerakan, dia kini menjadi antara pemain bola sepak terbaik Jepun di Liga Perdana Inggeris, menewaskan pertahanan kelab-kelab gergasi seperti Arsenal dan Manchester City.

 

Inilah beza antara mereka yang benar-benar berbakat dan mereka yang hanya mahu mencari alasan.

 

Jika seorang pemain bola sepak yang luar biasa hebat pun masih memilih untuk belajar bagi menambah keupayaannya, apa alasan anda yang tidak berbakat dalam apa-apa pun untuk menolak pendidikan?

 

Kita Sanggup Manipulasi Statistik, Tetapi Dunia Tak Akan Tipu Anda

Setiap tahun, kita meraikan kadar lulus SPM yang tinggi.

 

Tetapi di mana kita berdiri dalam perbandingan global?

 

  1. PISA 2022: Malaysia di kedudukan ke-47 dalam Matematik dan ke-50 dalam Sains daripada 81 negara.
     
  2. TIMSS 2023: Pelajar kita semakin mundur dalam pemikiran saintifik dan analitikal.
     
  3. Pasaran kerja: Lebih 50% graduan Malaysia bekerja dalam bidang yang tidak berkaitan dengan pengajian mereka.

 

Masih mahu percaya bahawa pendidikan itu tidak penting? Tidak mengapa, asalkan kita boleh berpura-pura bahawa sistem kita baik-baik sahaja, bukan?

 

SPM Bukan Segalanya, Tetapi Melarikan Diri dari Realiti adalah Kebodohan

SPM bukan satu-satunya jalan menuju kejayaan, tetapi mengelak cabaran dan berharap kejayaan datang bergolek adalah satu kebodohan.

 

Jika anda benar-benar ingin mencari jalan lain, pastikan anda ada perancangan yang kukuh, ilmu yang mencukupi, dan disiplin yang tinggi.

 

Tetapi jika anda ponteng SPM hanya kerana ia terlalu susah, atau kerana anda percaya bahawa kejayaan boleh datang dalam sekelip mata, maka bersedialah untuk menerima akibatnya.

 

Dunia nyata tidak ada butang “ulang siar” seperti TikTok. Anda boleh ponteng SPM, boleh percaya pada jalan pintas, boleh yakin bahawa sistem ini tidak relevan. Tetapi apabila anda gagal, siapa yang akan bertanggungjawab?

 

Kerajaan? Majikan? Sistem pendidikan? Ibu bapa?

 

Atau diri sendiri?        - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat