Baru-baru ini seorang pelajar menghantar WhatsApp kepada saya. “Sir, berbaloi tak kalau saya mula invest crypto?”
Saya tanya balik, “Kenapa nak beli?” Dia jawab, “Sebab Bitcoin tengah naik.”
Saya tidak terkejut dengan jawapan itu. Sekurang-kurangnya dia jujur. Ramai orang mula berdagang dengan alasan yang hampir sama. Bukan sebab sudah faham blockchain. Bukan sebab sudah baca *white paper*. Bukan sebab sudah kira risiko. Mereka beli sebab harga sedang naik.
Kalau naik lagi, kita gelarkan diri sebagai pelabur. Kalau jatuh 50%, barulah terhegeh-hegeh nak Google – *What is Bitcoin?* Sekarang lagi senang. Buka ChatGPT dan tanya, “Why Bitcoin fall?” Lepas itu tanya lagi, “Should I sell now?”
Masa untung, kita rasa kita nampak sesuatu yang orang lain tidak nampak. Masa rugi, tiba-tiba pasaran pula yang tidak masuk akal.
Bitcoin yang liar
Bitcoin hari ini bukan lagi benda pelik di internet. BlackRock ada. Fidelity ada. ETF spot pun ada. BlackRock menawarkan iShares Bitcoin Trust ETF, manakala Fidelity mempunyai Fidelity Wise Origin Bitcoin Fund, kedua-duanya memberi pendedahan kepada Bitcoin tanpa pelabur perlu memegang Bitcoin secara langsung.
Wall Street akhirnya masuk juga. Bila Wall Street masuk, semuanya nampak lebih serius. Ada prospektus. Ada custodian. Ada compliance. Ada management fee. Terus nampak kemas.
Tetapi jangan terlebih yakin. Wall Street masuk tidak bermaksud Bitcoin sudah bertukar menjadi ASB.
Di Malaysia, pelaburan aset digital juga semakin tersusun. Suruhanjaya Sekuriti mengawal selia perdagangan, penerbitan dan penjagaan aset digital, dan senarai semasa menunjukkan beberapa Digital Asset Exchange (DAX) yang berdaftar. Garis panduan untuk DAX juga diperkukuh lagi pada Mei 2026.
Cuma jangan lupa. Pasaran kripto tetap pasaran kripto. Bila jatuh, memang tidak kenal siapa.
Untung orang tunjuk, rugi orang sorok
Sejarah Bitcoin bukan semuanya tentang cerita harga naik. CME merekodkan empat kejatuhan besar Bitcoin antara 2011 hingga 2022, dengan penyusutan sekitar 70% hingga 93% daripada puncak masing-masing. Ethereum dan Solana pula boleh jadi lebih ganas.
Dalam bahasa kewangan, ini dipanggil drawdown. Kalau bahasa marhaen: rugi teruk.
RM10,000 boleh jadi RM15,000. Ia juga boleh jadi RM4,000. Angka RM4,000 di atas kertas tidak terasa apa sangat. Namun, apabila buka aplikasi dan tengok RM10,000 tinggal RM4,000, masa itu baru tahu toleransi risiko kita betul-betul tinggi atau kita cuma sembang pasal risiko.
Sebelum beli, semua orang kata tidak ada masalah kalau rugi 50%. Realitinya, bila harga jatuh 15%, mula tidak tenteram dan setiap 10 minit buka aplikasi untuk semak pergerakan harga.
Itu baru 15%. Kalau 25%, whale pula yang salah. Lebih daripada itu, mulalah merapu: market manipulated.
Nampak, kan? Yang kreatif selalunya bukan analisis dan strategi kita. Tetapi alasan kita.
Bila harga naik, banyak pula guru media sosial
Satu lagi perangai menarik dunia pelaburan, dan kripto tidak terkecuali: bila harga naik, bilangan guru pelaburan pun tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Baru beberapa kali beli Bitcoin, bio media sosial sudah jadi investor, trader, mentor. Beli dua altcoin yang kebetulan naik, terus buka kelas. Buka TradingView, lukis dua garisan, tambah istilah smart money, liquidity sweep dan market structure. Kemudian keluarlah poster, Limited seat. RM199.
Media sosial pula penuh dengan screenshot keuntungan, jam tangan mewah dan kereta sport. Screenshot kerugian susah nak jumpa. Mungkin algoritma tidak suka.
Yang saya lebih ingin tahu ialah satu perkara. Kalau betul seseorang boleh buat jutaan ringgit hanya dengan tekan Buy dan Sell, kenapa perlu sangat kejar peserta kelas RM199?
Di sinilah ceritanya jadi menarik. Ada orang buat duit daripada pasaran. Ada pula buat duit dengan air liur daripada orang yang mahu buat duit daripada pasaran. Kadang-kadang produk sebenar bukan strategi. Produknya… kita.
Banyak coin tak semestinya diversified
Ada pula yang kata, “Saya dah diversify. Bitcoin ada. Ethereum ada. Solana pun ada.”
Belum tentu. Nama berbeza, teknologi berbeza, tetapi bila sentimen buruk, tiga-tiga boleh merah serentak. Kita sangka ada tiga bot. Rupa-rupanya cuma tiga penumpang dalam bot yang sama.
Portfolio pula bukan bufet Ramadan. Tidak perlu ambil semua yang ada. Ada projek dengan teknologi hebat, ada yang cuba menyelesaikan masalah sebenar, dan ada juga yang terkenal sebab simbol anjing.
Anehnya, yang simbol anjing itulah kadang-kadang naik ratusan peratus. Pasaran memang ada sense of humour.
Cara membosankan kadang-kadang lebih waras
Saya sebenarnya lebih suka cara yang membosankan. DCA. RM100, RM200 atau RM300 sebulan. Beli secara berkala. Tidak perlu terus campak RM20,000 hanya sebab takut “tertinggal kereta api”. FOMO tidak pernah jadi strategi pelaburan.
Lagipun, kereta api pasaran kewangan ini pelik sedikit. Terlepas satu, nanti datang lagi. RM300 sebulan selama 10 tahun bersamaan RM36,000 modal sendiri. Itu belum masuk cerita untung rugi.
Saya cuba jalankan beberapa simulasi Monte Carlo. Hasilnya macam-macam. Dalam senario lemah, nilainya mungkin sekitar modal sendiri, malah boleh kurang. Senario sederhana nampak lebih menarik. Senario luar biasa pula angkanya cukup besar sampai orang mula buka laman Porsche.
Masalahnya, manusia memang suka senario terakhir. Senario paling buruk jarang masuk screenshot. Sebab itu saya tidak terlalu ghairah bila ada yang meramal Bitcoin akan mencecah AS$200,000, AS$500,000 atau sejuta dolar.
Mungkin. Mungkin juga tidak. Ramalan harga kripto kadang-kadang mempunyai jangka hayat lebih pendek daripada trend TikTok.
Akhirnya, harga Bitcoin 10 tahun lagi bukan perkara yang kita boleh kawal. Yang kita boleh kawal ialah berapa banyak kita letak, berapa lama kita sanggup tunggu dan apa kita buat apabila pasaran jatuh separuh.
Berbaloi untuk siapa?
Berbaloi? Mungkin. Kalau guna duit lebihan, boleh cuba.
Kalau guna duit yuran, jangan buat hal. Kalau sampai swipe kad kredit untuk beli Bitcoin, itu bukan pelaburan. Itu eksperimen sosial menempah tiket ke neraka kewangan.
Dan kalau seorang influencer kata, “Bitcoin confirm pergi sejuta dolar”, saya sokong. Asalkan dia tunjuk dulu berapa banyak Bitcoin dia ada.
Bukan sejuta followers dia. - DagangNews.com








