Pesanan untuk peneraju: Tanpa visi dan misi jelas, organisasi anda hanya mengejar bayangan! | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pesanan untuk peneraju: Tanpa visi dan misi jelas, organisasi anda hanya mengejar bayangan!

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Ini artikel saya yang ke-227 dibawah kolum Anekdot Mawarith. Sebelum ini kita fokus kepada isu harta pusaka, minggu ini kita bercerita pula tentang disiplin kepimpinan di dalam berorganisasi.

 

Selain daripada topik berkaitan harta pusaka, topik pengurusan juga merupakan antara topik kegemaran saya untuk dikongsikan. Bukanlah kerana saya pakar di dalam topik ini tetapi lebih kerana saya ada serba sedikit pengalaman di dalamnya.

 

Tiada visi, misi jelas

Saya kerap bertemu dengan organisasi yang tiada visi dan misi yang jelas. Jikapun ada, visi dan misi itu hanya wujud di dalam kepala peneraju organisasinya sahaja.

 

Dia seorang sahaja yang tahu apa visi dan misinya serta kenapa ia sebegitu bentuknya. Keseluruhan ahli organisasi yang lain biasanya tiada pengetahuan tentang visi dan misi ini. Mereka hanya berada di dalam organisasi itu sekadar membuat kerja seperti yang diarahkan.

 

Malah saya juga kerap bertemu dengan organisasi yang langsung tiada visi dan misi. Mereka tahu mereka perlu bekerja bagi mencapai objektif atau keuntungan organisasi.

 

Mereka tahu mereka perlu membuat penambahbaikan di dalam cara mereka bekerja bagi menjadi lebih produktif. Namun mereka tiada visi dan misi yang jelas. Mereka tiada halatuju.

 

Pernah saya bertanya kepada peneraju organisasi apakah visi dan misi organisasinya? Adakah visi dan misi itu ada ditampal di mana-mana tempat di dalam premis perniagaannya sebagai peringatan kepada semua ahli/kakitangannya?

 

Adakah kakitangan/ahli organisasinya tahu tentang visi dan misi itu? Adakah sesi libat urus secara konsisten telah dibuat dengan kakitangan/ahli organisasinya bagi memastikan mereka faham sepenuhnya visi dan misi itu? krik...krik…krik.

 

 

Wasiyyah

 


Belayar tanpa arah

Organisasi yang tidak mempunyai visi dan misi yang jelas analoginya umpama kapal yang belayar di lautan luas tanpa arah tujuan. Mereka mungkin sampai ke sesuatu destinasi tetapi destinasi itu bukanlah tujuan utama mereka kerana tanpa visi mereka sebenarnya tidak tahupun ke mana destinasi utama mereka.

 

Visi dan misi ini mesti dibangunkan secara ‘bottom-up’ jika organisasi anda belum mempunyainya atau anda sebagai peneraju hanya mempunyai gambaran samar-samar terhadapnya.

 

Libatkan ahli/kakitangan anda secara kolektif untuk membangunkannya. Visi dan misi yang dibangunkan melalui kaedah ini akan mempunyai ‘buy-in’ yang sangat kuat kepada ahli / kakitangan anda.

 

Oleh kerana ahli/kakitangan secara kolektif memberi input kepada pembangunan visi dan misi organisasi, mereka akan faham secara mendalam kenapa visi dan misi itu sedemikian rupanya dan apakah kepentingannya.

 

Mereka juga akan yakin dengan manfaat visi dan misi itu kepada mereka sendiri serta akan berusaha sedaya-upaya untuk mencapainya.

 

Anda kena ingat bahawa anda berseorangan sebagai peneraju tidak boleh mencapai visi dan misi organisasi secara bersendirian. Anda memerlukan keseluruhan organisasi menggembeling tenaga dan bergerak seiring dengan anda untuk mencapai visi dan misi ini.

 

Visi ialah hala tuju organisasi dan apa yang ingin dicapai pada masa hadapan. Visi ialah masa depan dan ia merupakan satu destinasi yang telah kita fikirkan dengan teliti. Kita mahu sampai ke destinasi itu kerana kita telah perhalusi apakah manfaatnya untuk sampai ke destinasi itu.

 

Manfaat itu pula mestilah boleh dinikmati oleh semua pemegang taruh. Ia akan menjadi panduan kepada semua polisi, dasar atau aktiviti yang ingin dilaksanakan oleh organisasi di sepanjang perjalanan mencapai visi itu.

 

Misi pula ialah aktiviti atau strategi yang digunapakai untuk mencapai visi yang telah ditetapkan. Misi yang pelbagai ini mestilah selari dengan visi. Pencapaian misi berkolerasi terus dengan pencapaian visi. Di saat visi itu bersifat strategik, misi pula bersifat taktikal.

 

 

Wasiyyah

 


Visi Sebagai Hala tuju, Misi Sebagai Strategi

Dengan kewujudan visi dan misi yang eksplisit, difahami dengan jelas oleh semua ahli/kakitangan dan terpampang di keseluruhan wajah organisasi baik secara fizikal mahupun di dalam semua bentuk komunikasi atas talian, ia menjadi wadah kepada penyatuan keseluruhan pemegang taruh.

 

Visi dan misi yang jelas juga akan bertindak sebagai pembezaan atau ‘differentiation’ di antara organisasi kita dengan organisasi yang lain. Ia sekali gus membina identiti dan ‘positioning’ yang unik.

 

Masyarakat atau pasaran akan dapat mengenal pasti kita dengan mudah melalui visi dan misi ini. Organisasi yang mempunyai visi dan misi yang jelas kebiasaannya akan lebih mapan (sustainable) dan mempunyai potensi perkembangan (growth potential) yang lebih besar.

 

Melalui pengalaman panjang 21 tahun, Wasiyyah memahami betapa visi dan misi ini sangat kritikal. Kami mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan visi dan misi yang bersesuaian dan kontemporari dengan keadaan semasa Wasiyyah.

 

Visi Wasiyyah ialah untuk menjadi syarikat amanah patuh Syariah digital global yang menawarkan perkhidmatan perancangan harta komprehensif. Elemen masa depan di sini ialah digital dan global. Itulah destinasi kami.

 

Apakah pula aktiviti taktikal yang perlu kami laksanakan bagi mencapai visi ini? Wasiyyah telah menggariskan 3 misi utama bagi mencapai visi ini iaitu untuk secara berterusan membangunkan solusi perancangan harta secara Syariah yang inovatif dan komprehensif, membangunkan bakat di dalam bidang ini serta membina jenama berintegriti dan diyakini pada peringkat global.

 

Jika kami berjaya mencapai misi-misi ini, secara langsung ia akan membantu kami mencapai visi yang ditetapkan.

 

Cabaran-cabaran

Cabaran yang ada pada kebanyakan organisasi ialah kerana mereka merasakan membangunkan visi dan misi yang jelas ini ialah satu usaha yang hanya membuang masa dan sumber.

 

Saya sendiripun lama dahulu merasakan bahawa nak meluangkan masa untuk berfikir tentang perkara ini sangat tidak produktif memandangkan sebagai peneraju organisasi, saya ada banyak tanggungjawab lain yang lebih mendesak untuk dilaksanakan.

 

 

Wasiyyah

 

 

Namun selepas secara teliti membangunkan dan mengadaptasi visi dan misi ini secara formal di dalam Wasiyyah dengan bantuan Lembaga Pengarah, saya menjadi testimoni hidup betapa ia telah menyumbang secara signifikan kepada perkembangan Wasiyyah.

 

Visi dan misi ini ibarat kompas yang menetapkan hala tuju syarikat secara kolektif untuk semua pemegang taruh. Ia dikomunikasi dan dibincangkan secara berterusan kepada semua kakitangan dan daie kami.

 

Semua orang nampak dengan jelas ke mana hala tuju syarikat. Semua orang juga faham bagaimana mencapai visi dan misi ini akan memberi manfaat secara langsung dan kami semua kini bergerak secara berderap dan seiring mencapai visi dan misi ini. Tiada sebarang kekaburan.

 

Kesannya? Sejak pengenalan visi dan misi terbaru ini, Wasiyyah telah mencatat perkembangan positif purata 30% dari tahun ke tahun (year-on-year) semenjak 2023 baik dari sudut pendapatan (turnover) mahupun keuntungan.

 

Kesemua komponen dalam Wasiyyah seperti penetapan diskripsi tugas, KPI dan sistem penilaian prestasi kakitangan, strategi pengurusan, strategi pembangunan produk dan penetapan harga, strategi pemasaran dan promosi, strategi pembangunan daie dan strategi ‘positioning’, semuanya berpaksikan visi dan misi ini.

 

Organisasi anda tiada visi dan misi? Buatlah sekarang sebelum terlambat. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd