Eh, mana mungkin tersalah?
Ini muka depan akhbar perdana. Bukan sekadar helaian berita, tetapi lembaran yang mewakili wajah negara, walaupun berbahasa Cina. Sin Chew dikatakan sebagai akhbar berbahasa Cina terbesar di Malaysia.
Malangnya, Sin Chew siarkan gambar Jalur Gemilang yang kurang sifat. Bulan sabitnya tiada. Simbol Islam, agama Persekutuan, terpadam begitu sahaja.
Lalu diberi jawapan klise: “Maaf, kesilapan teknikal.”

Lucunya, budak sekolah yang baru mengenal Jalur Gemilang pun akan melukis bulan sabit walaupun tidak lurus.
Bulan sabit dalam Jalur Gemilang bukan motif Islamik. Ia adalah manifestasi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Lambang ini dipersetujui secara muafakat oleh Jawatankuasa Perlembagaan 1957, sebagai pengiktirafan bahawa Islam ialah agama Persekutuan.
Ini bukan hiasan grafik yang boleh diubah sesuka hati. Menghilangkannya bererti mencabar asas persetujuan yang membentuk negara ini.
Simbol itu tidak ghaib sendiri. Ia hilang melalui proses yang dikawal rapi. Disunting, disemak, dan dicetak. Semua tahu muka depan akhbar bukan kerja seorang. Ada ilustrator, editor, penyemak akhir, dan ketua penerbitan. Mustahil semuanya terlepas pandang. Atau mungkin ada yang memilih untuk tidak mahu melihat?
Lebih aneh, bendera China dalam ilustrasi yang sama kekal lengkap dan dihormati. Itu bukan kebetulan. Itu satu pilihan.
Apa Sebenarnya Yang Cuba Diuji?
Kita diajar sejak kecil bahawa bendera ialah lambang kedaulatan dan setiap rakyat harus menghormatinya. Tetapi apa maknanya jika ia boleh digugurkan mengikut keselesaan grafik?
Bila simbol rasmi Perlembagaan boleh dipadam begitu sahaja, yang dicabar bukan lagi soal reka bentuk, tetapi niat mencairkan identiti negara secara senyap.
Lambang boleh hilang hari ini. Prinsip mungkin disangkal esok.
Bukan Soal Kaum. Tapi Soal Siapa Masih Percaya Pada Negara Ini
Setiap kali isu seperti ini timbul, akan muncul suara menasihatkan supaya jangan jadikan ia sebagai "isu perkauman”. Tetapi ini bukan isu Melayu atau Cina. Bukan juga soal Islam atau bukan.
Malaysia bukan lokasi bisnes. Ia bukan tanah persinggahan. Negara ini dibina atas persetujuan, perjanjian, dan pengiktirafan terhadap Islam sebagai agama rasmi.
Apa maknanya menjadi rakyat Malaysia jika Jalur Gemilang pun tidak dikenali? Malaysia sudah lebih enam dekad merdeka.
Kalau sudah berpuluh tahun tinggal di sini, menikmati bermacam subsidi, keamanan, dan pelbagai peluang, tetapi masih tidak tahu bahawa bulan sabit itu wajib ada, maka masalahnya bukan pada kad pengenalan, masalahnya pada jiwa.
MyKad boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Tetapi rasa hormat terhadap Perlembagaan tidak datang bersama cip biometrik. Kalau bulan sabit pun dianggap tidak penting, apakah anda benar-benar warga? Atau hanya pengguna yang menikmati kemudahan tanpa jiwa kebangsaan?
Menjadi rakyat bukan soal dokumen. Ia soal kesanggupan mempertahankan lambang negara bila ia dihina. Itulah ukuran sebenar kewarganegaraan.
Disember Terbalik, April Terpadam. Ini Bukan Lagi Silap. Ini Sudah Jadi Skrip
Jalur Gemilang pernah dipakai terbalik oleh Lee Zii Jia di pentas dunia. Jersi rasmi, jenama antarabangsa. Permohonan maaf pun dikeluarkan.
Kemudian bulan sabit hilang dari muka depan Sin Chew Daily. Sekali lagi, permohonan maaf menyusul.
Selang sehari, Kwong Wah Yit Poh menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit. Satu lagi permohonan maaf pun dikeluarkan.
Tiga insiden. Tiga medium berbeza. Tetapi skripnya serupa. Nada permohonan maaf seakan telah ditulis awal-awal. Jika ini bukan sebahagian daripada naratif yang sedang dibiasakan kepada masyarakat, maka kita sedang berpura-pura.
Semakin kerap ia berlaku, semakin sukar untuk kita anggap ia satu kecuaian. Ini menyerupai eksperimen. Proses normalisasi yang perlahan, mencabut makna negara satu-persatu sambil menguji sejauh mana rakyat masih sanggup diam.

Patut didakwa Undang-Undang lebih BERAT
Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh kini disiasat oleh pihak berkuasa. Sin Chew Daily dikenakan tindakan di bawah Akta 414 dan 301, manakala Kwong Wah Yit Poh disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di saluran rasmi mereka.
Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan surat tunjuk sebab. MCMC pula mengesahkan siasatan bersama PDRM sedang berjalan.
Kedua-dua organisasi media telah menarik balik ilustrasi tersebut dan mengeluarkan permohonan maaf terbuka. Adakah tindakan itu lahir daripada rasa tanggungjawab sendiri, atau hanya muncul selepas tekanan awam?
Perbezaan pendekatan ini menarik. Satu insiden ditangani oleh KDN dengan akta dari era analog, satu lagi oleh MCMC dengan akta dari era digital.
Tetapi natijahnya tetap sama. Jalur Gemilang, sama ada di kertas cetakan atau skrin digital, bukan sekadar grafik. Ia lambang negara yang wajib dipelihara pada setiap medium.
Perundangan mungkin telah berjalan. Tetapi apakah wacana rakyat akan berakhir hanya dengan siasatan dan surat tunjuk sebab? Atau ini sekadar satu lagi entri dalam arkib "permohonan maaf rasmi"?
Cukup. Ini Garis Akhirnya
Kita bukan mempertahankan kain, tetapi makna. Apabila simbol mula dipermainkan, yang hilang bukan sekadar bentuk. Yang terhakis adalah maruah, sejarah dan sempadan negara ini.
Kalau bulan sabit pun tidak mampu dipertahankan, jangan terkejut jika suatu hari nanti Jalur Gemilang hanya tinggal jalur kosong. Ia hilang sedikit demi sedikit, bukan oleh penjajah, tetapi oleh rakyat sendiri yang terlalu takut untuk bersuara.
Negara ini tidak rebah kerana bendera koyak. Ia runtuh apabila rakyatnya tidak lagi peduli siapa yang mencontengnya.
Sudah cukup. Jika semua ini masih mahu dianggap sebagai kesilapan, mungkin kita sudah terlalu biasa dikhianati.
Masihkah ini negara kita?
Cukup.

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Penafian
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi mana-mana organisasi, institusi atau entiti penerbitan. Semua rujukan kepada individu, agensi atau penerbitan dilakukan berdasarkan fakta semasa yang tersedia umum pada waktu penulisan. Sekiranya terdapat maklumat baharu atau penjelasan lanjut yang muncul kemudian, penulis bersedia untuk membuat pelarasan berdasarkan kebenaran yang disahkan. Artikel ini ditulis dengan niat untuk menimbulkan kesedaran awam berkenaan kepentingan simbol negara dan integriti Perlembagaan, tanpa prejudis terhadap mana-mana kaum, agama atau pihak. - DagangNews.com








