Mengapa BAFIA Digantikan Dengan IFSA 2013 dan FSA 2013? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mengapa BAFIA Digantikan Dengan IFSA 2013 dan FSA 2013?

Oleh Dr RAZLI RAMLI

Sejak 1 Julai 2013, landskap perundangan sektor kewangan Malaysia telah mengalami transformasi penting apabila beberapa akta utama yang sebelum itu berkuat kuasa secara berasingan digabungkan di bawah dua akta induk, iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013 – IFSA 2013) dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013 – FSA 2013).

 

Namun, lebih sedekad selepas kedua-dua akta itu dikuatkuasakan, masih terdapat dalam kalangan pengamal industri, penyelidik, pelajar malah penceramah yang merujuk kepada Banking and Financial Institutions Act (BAFIA) 1989, Islamic Banking Act (IBA) 1983, Insurance Act 1996 atau Akta Takaful 1984 seolah-olah undang-undang tersebut masih berkuat kuasa.

 

Kekeliruan ini bukan sahaja menjejaskan ketepatan fakta, malah boleh mengundang salah faham terhadap kerangka pengawalseliaan semasa sistem kewangan Malaysia.

 

Hakikatnya, sejak 1 Julai 2013, IBA 1983, Akta Takaful 1984, Akta Sistem Pembayaran 2003 (Payment Systems Act 2003 – PSA 2003) dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (Exchange Control Act 1953 – ECA 1953) telah digabungkan di bawah IFSA 2013.

 

BAFIA 1989, Insurance Act 1996, PSA 2003 dan ECA 1953 pula disatukan di bawah FSA 2013. Reformasi ini bukan sekadar pertukaran nama akta, sebaliknya membentuk kerangka perundangan yang lebih menyeluruh bagi mengawal selia sektor kewangan negara.

 

Mengapa penggabungan ini diperlukan?

Persoalan yang sering dibangkitkan ialah mengapa perlu diwujudkan penggabungan undang-undang tersebut.

 

Sebelum 2013, setiap segmen sektor kewangan dikawal oleh akta yang berasingan. Perbankan mempunyai undang-undangnya sendiri, manakala takaful, insurans, sistem pembayaran dan kawalan pertukaran wang pula ditadbir melalui akta yang berlainan.

 

Pendekatan itu sesuai ketika industri kewangan masih berkembang secara berasingan.

 

Namun, apabila sektor kewangan menjadi semakin kompleks, saling berhubung dan dipacu inovasi digital, pendekatan berasingan mula menampakkan beberapa kelemahan, termasuk pertindihan bidang kuasa, ketidakseragaman tafsiran undang-undang, jurang penyeliaan serta cabaran mengurus risiko yang semakin berkait antara institusi kewangan.

 

Dalam penulisan mengenai tadbir urus dan kestabilan sistem kewangan, banyak kajian menunjukkan bahawa kerangka undang-undang yang terlalu berpecah boleh menjejaskan keberkesanan penyeliaan, meningkatkan kos pematuhan serta melambatkan proses membuat keputusan dalam menangani risiko sistemik.

 

IFSA 2013 memperkukuh tadbir urus Syariah

Walaupun terdapat banyak penulisan mengenai perkembangan kewangan Islam di Malaysia, masih terdapat jurang dalam perbincangan yang mengupas secara menyeluruh rasional penggabungan undang-undang ini sebagai strategi memperkukuh keseluruhan ekosistem kewangan negara.

 

Kebanyakan kajian memberi tumpuan kepada aspek Syariah, produk atau prestasi institusi, sedangkan reformasi perundangan sebagai pemacu kestabilan sistem kewangan kurang diberikan perhatian.

 

Berdasarkan jurang tersebut, pengenalan IFSA 2013 dan FSA 2013 boleh dilihat sebagai satu intervensi dasar yang signifikan.

 

Pendekatan ini membolehkan pengawalseliaan dilaksanakan secara lebih menyeluruh berasaskan fungsi dan risiko, berbanding hanya mengikut kategori institusi kewangan.

 

Melalui kerangka perundangan yang lebih komprehensif, Bank Negara Malaysia mempunyai asas undang-undang yang lebih kukuh untuk menyelia institusi kewangan, mengurus risiko baharu, memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan kestabilan sistem kewangan negara terus terpelihara.

 

Bagi sektor kewangan Islam, IFSA 2013 turut memperkukuh pematuhan Syariah sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko institusi kewangan.

 

Di bawah IFSA 2013, pematuhan Syariah tidak lagi dianggap sebagai tanggungjawab sampingan, sebaliknya menjadi obligasi undang-undang yang perlu dipatuhi oleh lembaga pengarah, pengurusan kanan dan seluruh organisasi.

 

Sekiranya berlaku ketidakpatuhan Syariah, tindakan pengawalseliaan boleh diambil oleh pihak berkuasa.

 

Pendekatan ini meningkatkan keyakinan pelanggan, pelabur dan masyarakat terhadap integriti sistem kewangan Islam Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara hab kewangan Islam terkemuka di dunia.

 

FSA 2013 memperkukuh pengawalseliaan moden

FSA 2013 pula menyediakan kerangka yang lebih moden untuk sektor kewangan konvensional.

 

Akta ini menggabungkan pengawalseliaan berasaskan risiko, tadbir urus korporat, perlindungan pengguna serta pengurusan krisis kewangan dalam satu kerangka yang lebih tersusun.

 

Keadaan ini membolehkan Bank Negara Malaysia bertindak lebih pantas terhadap perubahan persekitaran kewangan termasuk perkembangan teknologi kewangan (fintech), pembayaran digital, aset maya, ancaman siber dan risiko rentas sempadan yang semakin kompleks.

 

Dalam era ekonomi digital, keupayaan sistem perundangan bergerak seiring dengan inovasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.

 

Meningkatkan keyakinan pelabur

Dari perspektif ekonomi negara, penggabungan undang-undang ini turut memberi impak besar terhadap keyakinan pelabur.

 

Pelabur tempatan dan antarabangsa sentiasa menilai kekuatan kerangka perundangan sebelum membuat keputusan pelaburan.

 

Sistem perundangan yang jelas, konsisten dan moden meningkatkan keyakinan terhadap kestabilan institusi kewangan sesebuah negara.

 

Malaysia berjaya membina reputasi sebagai negara yang memiliki sistem kewangan stabil bukan sahaja kerana kekuatan institusi kewangannya, malah hasil kerangka perundangan dan pengawalseliaan yang sentiasa ditambah baik mengikut perkembangan semasa.

 

Inilah antara faktor yang membantu sistem kewangan negara kekal berdaya tahan ketika berdepan krisis kewangan, pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan geopolitik global.

 

Selain itu, penggabungan akta mengurangkan pertindihan peraturan, memperkemaskan proses pematuhan serta meningkatkan kecekapan operasi institusi kewangan.

 

Pendekatan ini membolehkan institusi kewangan memberi tumpuan kepada inovasi produk, peningkatan pengalaman pelanggan dan pembangunan teknologi baharu tanpa mengabaikan aspek tadbir urus serta pengurusan risiko.

 

Pada masa sama, pengguna menikmati perlindungan yang lebih baik terhadap hak mereka, ketelusan maklumat yang lebih tinggi serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih sistematik.

 

Ketepatan istilah mencerminkan profesionalisme

Signifikan reformasi ini turut terserlah daripada sudut pembangunan modal insan.

 

Pelajar, pensyarah, penyelidik, pegawai bank, penasihat Syariah, peguam dan pengamal industri perlu memahami bahawa kerangka undang-undang kewangan Malaysia telah berubah sejak lebih sedekad lalu.

 

Ketepatan menggunakan istilah perundangan bukan sekadar soal akademik, sebaliknya mencerminkan tahap profesionalisme seseorang.

 

Terus merujuk kepada BAFIA 1989, IBA 1983 atau Akta Takaful 1984 seolah-olah masih menjadi undang-undang utama boleh mengelirukan masyarakat, khususnya generasi baharu yang sedang mempelajari sistem kewangan negara.

 

Oleh itu, budaya mengemas kini pengetahuan dan memastikan setiap rujukan berpandukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa perlu menjadi amalan seluruh warga industri.

 

Undang-Undang Tepat Lambang Profesionalisme

Penggubalan IFSA 2013 dan FSA 2013 merupakan antara reformasi perundangan paling signifikan dalam sejarah sistem kewangan Malaysia.

 

Penggabungan beberapa akta kepada dua kerangka undang-undang yang lebih komprehensif bukan sahaja mengatasi kelemahan struktur terdahulu, malah meningkatkan keberkesanan penyeliaan, memperkukuh tadbir urus, mengukuhkan pematuhan Syariah, melindungi pengguna serta mempertingkatkan daya tahan sistem kewangan negara.

 

Dalam dunia kewangan yang sentiasa berubah, kerangka perundangan yang moden dan bersepadu menjadi asas penting kepada kestabilan ekonomi, keyakinan pelabur dan kemampanan pembangunan sektor kewangan.

 

Justeru, sebagai ahli akademik, pengamal industri, penyelidik mahupun pelajar, kita perlu memastikan setiap penulisan, pembentangan dan perbincangan profesional menggunakan rujukan undang-undang yang tepat.

 

Ketepatan fakta bukan sahaja mencerminkan kredibiliti individu, malah menyumbang kepada pemerkasaan ilmu dan pembangunan sistem kewangan Malaysia yang lebih kukuh, progresif serta dihormati di peringkat antarabangsa. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM
utm