Rentetan tulisan saya minggu lepas, ada pula yang bertanya jika wasiat bukan instrumen terbaik bagi mewariskan saham syarikat, apakah pula instrumen yang patut dibuat?
Ramai pemegang saham/ahli perniagaan memang menggunakan wasiat sahaja untuk tujuan ini tanpa mengetahui apa kesan sebenar wasiat itu.
Di dalam tulisan minggu ini, saya akan terangkan sekali lagi sepintas lalu tentang apakah kekangan wasiat kepada pewarisan saham syarikat.
Sesiapa yang ingin mengetahui secara terperinci bolehlah merujuk kepada penulisan saya minggu lepas. Di sana ada saya berikan contoh yang terperinci.
ARTIKEL 12 Mac 2025: Wasiat BUKAN instrumen sesuai untuk mewariskan saham perniagaan
Kepada orang Islam, wasiat itu jika diberikan kepada ahli waris (pihak yang menerima harta pusaka mengikut hukum faraid seperti isteri, anak kandung atau sesiapapun), ia hanya berkuatkuasa sekiranya semua ahli faraid itu bersetuju dengan wasiat itu.
Jika ada satu pihak sahaja yang tidak bersetuju dengan wasiat itu, maka formula pemberian harta di dalam wasiat itu dianggap tidak sah dan terbatal.
Ini hukum yang memang sudah pun tergunapakai untuk orang Islam seluruh dunia. Apabila saya mengembara ke seluruh dunia, majoriti umat Islam faham perkara ini.
Jadi jika di dalam wasiat ada disebut bahawa saham syarikat itu diwasiatkan kepada pihak tertentu, hasrat itu hanya akan tercapai jika semua ahli warisnya bersetuju dengan wasiat itu selepas kematian pewasiat.

Jadi apakah instrumen yang sewajarnya dibuat jika mahukan hasrat pewarisan saham itu tercapai? Jawapannya ialah HIBAH.
Pemegang saham boleh menghibahkan saham syarikatnya kepada sesiapa yang difikirkan layak yang boleh meneruskan legasinya. Saya percaya ramai pemegang saham di luar sana terutamanya bagi syarikat SDN BHD, sudah pun ada idea siapakah di antara warisnya yang berkeupayaan meneruskan legasinya.
Pengalaman 21 tahun Wasiyyah Shoppe Berhad menunjukkan kebiasaannya akan ada seorang atau beberapa orang anak yang sudah pun dilatih bagi tujuan legasi ini.
Mereka dididik tentang selok belok perniagaan baik dari sudut kewangan, operasi, pemasaran mahupun ‘network’ bagi meneruskan perniagaan. Di dalam masa yang sama ada juga di kalangan anak-anak yang langsung tidak berminat atau tidak terlibat dengan pengurusan syarikat.
Semua pemegang saham yang saya temui mempunyai hasrat agar syarikatnya terus beroperasi dan memberi manfaat kepada semua waris-waris walaupun selepas kematiannya.
Mereka sudahpun menaruh kepercayaan bahawa anak-anak tertentu yang sudahpun dilatih bertahun-tahun mampu melaksanakan tanggungjawab ini.
Namun hasrat ini tidak akan tercapai hanya jika hanya wasiat yang dibuat. Seperti yang saya jelaskan di atas, jika ada antara waris-waris lain tidak bersetuju dengan wasiat ini, ia akan terbatal. Kedudukan hukumnya berbeza jika HIBAH yang dibuat.
Pemegang saham boleh menghibahkan saham syarikatnya kepada anak-anak yang memang dipercayai dan terlatih bagi meneruskan legasinya. Jika ada antara di antara waris-waris lain tidak bersetuju dengan HIBAH ini, mereka perlu mencabarnya di Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syariah akan melihat sama ada rukun dan syarat HIBAH ini telah terlaksana semasa hidupnya pemegang saham. Jika semua rukun dan syarat dipenuhi, maka Mahkamah Syariah akan mengesahkan HIBAH yang dibuat itu.

Ini bermakna hasrat pemegang saham supaya sahamnya dimiliki oleh anak-anak tertentu itu akan tercapai.
Maka campurtangan daripada waris-waris lain di dalam isu pemilikan saham syarikat dapat dielakkan kerana saham yang telah sempurna dihibahkan dan diiktiraf sebagai sah oleh Mahkamah Syariah itu akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.
Namun saya juga selalu bertemu keadaan di mana pemegang saham itu mahukan supaya manfaat daripada perniagaannya itu dinikmati oleh semua waris-waris dan bukan hanya dinikmati oleh penerima hibah sahaja.
Contohnya, dia mahukan dividen tahunan syarikat diagihkan kepada pasangannya, anak-anak lain yang tidak terlibat secara langsung di dalam perniagaannya, disumbang kepada badan kebajikan tertentu, menanggung belanja perubatan ibubapanya atau bagi tujuan-tujuan lain.
Hasrat ini juga boleh dicapai dengan mewujudkan instrumen amanah di mana penerima hibah bersetuju bahawa dia bertanggungjawab untuk mengagihkan apa-apa dividen kepada pihak-pihak seperti arahan pemegang saham. Maka tercapailah hasrat pemegang saham itu tadi.
Wasiyyah Shoppe Berhad sudahpun mendapat perintah pengesahan hibah bagi saham syarikat ini pada tahun 2017 daripada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Pengalaman menunjukkan bahawa kaedah ini boleh dilaksanakan.
Ia satu perkara yang sangat merugikan apabila syarikat yang telah beroperasi puluhan tahun dan memberikan manfaat kepada ramai orang musnah apabila kematian pemegang saham asal akibat perbalahan waris. Di sekeliling kita sudah ada banyak contoh kejadian seperti ini.
Saya bukan hanya bercerita melalui teori sahaja. Sebagai pemegang saham dan ahli perniagaan, saya sudahpun membuat perancangan rapi untuk pewarisan saham saya di Wasiyyah Shoppe Berhad dan saya tidak apologetik dalam bercerita mengenainya.
Saya hanya ada anak perempuan sahaja dan ayah telah lama meninggal dunia. Ini bermakna bila saya meninggal dunia, saham saya akan diwarisi oleh ibu, isteri, anak-anak perempuan saya dan adik-beradik saya.
Tidak semua daripada mereka ini terlibat dengan pengurusan syarikat malah ada yang tiada pengetahuan langsung tentang Wasiyyah Shoppe Berhad. Ini mewujudkan risiko besar kepada syarikat selepas kematian saya.

Di dalam masa yang sama ada anak-anak yang telah saya latih bertahun lamanya untuk terlibat dalam pengurusan syarikat.
Mereka memahami dengan jelas visi saya dan kerana itu saya mahukan mereka untuk mewarisi saham saya. Atas sebab itu saya telahpun membuat hibah saham kepada mereka.
Apabila saya meninggal dunia, saham syarikat itu tidak akan diagihkan kepada waris-waris saya mengikut hukum faraid sebaliknya telahpun dimiliki oleh anak-anak ini melalui hibah yang saya buat.
Dividen yang bakal mereka terima sebagai pemegang saham pula akan diagihkan kepada pihak-pihak yang saya kehendaki.
Namun sebagai institusi korporat, pengurusan syarikat dipantau dan dibimbing oleh ahli Lembaga Pengarah profesional yang berkelayakan dan berpengalaman.
Lembaga pengarah mempunyai bidang kuasa jelas di dalam Akta Syarikat 2016 dan merupakan pihak yang paling berkuasa di dalam menentukan polisi dan halatuju syarikat.
Sebagai pemegang saham, anak-anak saya boleh terus bekerja dan menikmati skala imbuhan/remunerasi sama seperti kakitangan lain namun standard tadbir urus korporat yang telah diputuskan syarikat menetapkan bahawa kelayakan untuk menjadi ahli Lembaga pengarah Wasiyyah Shoppe Berhad ialah pengalaman minimum 25 tahun di dalam bidang korporat.
Jadi jika anak-anak saya tidak menepati syarat itu, mereka tidak boleh menjadi ahli Lembaga pengarah walaupun mereka merupakan pemegang saham. Semua perincian ini telah saya laksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkenaan.
Tambahan pula Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 telah menetapkan bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad tidak boleh menutup operasinya kecuali dengan kebenaran Mahkamah.

Atas asbab itu, saya juga telah memastikan pelan penerusan perniagaan (business continuity plan) bagi pasukan pengurusan juga telah dilaksanakan. Maknanya walaupun saya meninggal dunia, pengurusan syarikat akan diambil alih oleh pihak profesional yang telah saya latih.
Setiap syarikat itu berbeza perniagaan dan sifatnya. Atas sebab itu, di Wasiyyah Shoppe Berhad kami melayan setiap kes sebagai kes yang unik. Ia memerlukan kami merancang pewarisan saham dengan kaedah yang paling terperinci bagi memenuhi hasrat pemegang saham.
Memang kerja ini tidak mudah dan leceh prosesnya namun risiko syarikat tutup selepas kematian pemegang saham itu lebih merugikan.
Jadi saya menyeru kepada pemegang saham syarikat, bertindaklah merancang pewarisan saham anda hari ini.
Janganlah memberikan alasan sibuk dan tiada masa kerana hakikatnya satu-satunya masa lapang yang kita ada selepas ini ialah di alam barzakh namun ia sudah terlambat! - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









