Amalan Belajar dari Buaian ke Liang Kubur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amalan Belajar dari Buaian ke Liang Kubur

Oleh Ariffin Sabirin

Selepas minggu lepas terlepas tarikh akhir untuk menyiapkan artikel di dalam Anekdot Mawarith ini, minggu ini Alhamdulillah diberikan peluang untuk menyambung kembali sesi perkongsian kita.

 

Saya sebenarnya sedang menyambung pengajian di Azman Hashim International Business School (AHIBS) UTM bagi program ApelQ doktor falsafah di dalam pentadbiran perniagaan.

 

Saya bersembang dengan beberapa orang rakan dan kami berkongsi motif kami untuk sambung belajar.

 

Persoalan hangat yang sentiasa berlegar dalam kalangan kami ialah kenapa kami mahu sambung belajar. Bukankah umur kami sudah lanjut? Pada peringkat ini bukankah kita sudah stabil dan tiada apa lagi yang ingin dikejar? 

 

Kenapa pula nak menyusahkan diri sendiri bertungkus-lumus belajar sedangkan kami ada pilihan untuk hidup tenang dan berehat. Bukankah selepas puluhan tahun membina kerjaya, inilah masanya untuk menikmati segala manfaaat daripada kerja keras itu? 

 

 

wasiyyah

 

wasiyyah

 

 

Lagipun kami kebanyakan daripada kami bukannya mahu menggunakan PhD itu sebagai batu loncatan bagi mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik. Hampir semua daripada kami sudahpun berumur lebih 50 tahun malah ada yang hampir mencecah umur 70 tahun.

 

Kalau dari sudut kerjaya, kami sebenarnya sudahpun menghampiri penghujung jalan. Saya sendiri akan mengeluarkan KWSP saya tahun ini!

 

Secara peribadi, proses belajar ini saya lalui untuk perkembangan intelektual minda sendiri. Terlibat di dalam pengajian tahap tertinggi akan memberi stimulasi dan mencabar minda pada umur ini.

 

Saya sangat kagum dengan tokoh seperti Tun Mahathir yang mindanya masih aktif dan dapat berfikir dengan baik pada usia mencecah 100 tahun sedangkan kebanyakan orang sudahpun nyanyuk bila usia mencecah 70 tahun!

 

Saya percaya ia kesan daripada penggunaan minda berterusan selama puluhan tahun. Pengajian PhD ini membantu mencabar minda saya untuk kekal aktif berfikir.    

 

Belajar juga dapat menambah kedalaman minda saya di dalam topik yang saya kaji. Untuk PhD ini, saya fokus kepada mengkaji kesan waktu kerja fleksibel kepada kakitangan saya.

 

Memang Wasiyyah telah mengamalkan waktu kerja fleksibel ini semenjak Covid-19 lagi dan ia memberikan hasil yang sangat memberangsangkan. Prestasi kewangan syarikat semakin baik dari tahun ke tahun. Produktiviti kakitangan yang diukur melalui Sistem Penilaian Prestasi (Performance Management System) objektif juga menunjukkan peningkatan ketara.

 

 

wasiyyah

 

 

Walaupun begitu, saya tidak mempunyai dapatan ilmiah yang menyokong bahawa apa yang kami lakukan itulah yang merupakan faktor tepat yang mempengaruhi prestasi baik itu.

 

Cabaran kepada orang berpengalaman seperti kami ialah kami akan duduk di dalam zon selesa dengan merasakan pengalaman puluhan tahun itu telah mengajar kami  menguasai sesuatu topik dengan baik. Tambahan pula apa yang kami lakukan itu berjaya memberikan hasil yang diharapkan. 

 

Hakikatnya masih banyak perkara yang tidak kami ketahui. Pengajian PhD ini diharapkan dapat memberikan saya kefahaman dan kedalaman tentang topik yang signifikan dan menjadi minat saya ini.

 

Saya pasti hasil pembelajaran ini dapat membantu saya mengukuhkan lagi Wasiyyah menjadi  organisasi yang mampu memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan berkesan kepada masyarakat.   

 

Satu daripada aspek di dalam program ApelQ PhD di AHIBS UTM ini yang pada saya sangat menarik ialah kerana ia mengumpulkan pemimpin organisasi daripada pelbagai latar belakang. Ia menjadi medan tempat kami berkongsi idea, pengalaman dan pengetahuan.

 

Kami berpeluang untuk belajar dari satu sama lain. Ia satu ‘melting pot’ yang sangat berharga. Ini peluang yang sangat susah didapati di dunia luar.  

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul  Azri Abu Bakar juga salah seorang pelajar kohort kami. Ada kalangan kami merupakan pengasas dan pemimpin syarikat senaraian awam, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta seperti saya.

 

 

parafrasa
Penulis bersama Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar

 

 

Bayangkan dinamika ilmu yang terbit daripada kumpulan ini. Semua orang bersungguh-sungguh berkongsi pengalaman dan idea demi ilmu. 

 

Pada saya program ini sangat bagus dan menarik kerana ia memberi peluang kepada orang-orang seperti kami menggunakan pengalaman profesional kami untuk membuat penyelidikan ilmiah bagi tajuk-tajuk yang diyakini dapat menyumbang kepada masyarakat.

 

Oleh kerana kami semua ialah pemimpin dan pembuat keputusan (decision maker), saya percaya kami akan mampu bertindak mengubah organisasi kami mengikut hasil penyelidikan kami. 

 

Mungkin juga apa yang kami lakukan ini boleh menjadi rujukan dan penanda aras kepada industri masing-masing.

 

Semenjak penubuhan Wasiyyah 21 tahun yang lepas, saya memang tidak pernah lokek dengan ilmu. Jika apa yang saya lakukan dapat dimanfaatkan oleh orang lain walaupun ia tidak berkait secara terus kepada saya, saya akan merasa bahagia kerana saya tahu secara tidak langsung saya juga menumpang pahala serba sedikit darinya. 

 

Saya tabik AHIBS UTM kerana mengambil langkah berani mengambil orang-orang yang tidak berapa nak muda ini sebagai pelajar. Bukan mudah mahu mengawal kelas yang dipenuhi senior-senior berpengalaman puluhan tahun dengan pelbagai gelagat ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada para pensyarah yang sabar  melayan semua pertanyaan kami.  

 

 

wasiyyah

 

 

Dengan penambahan portfolio baru sebagai pelajar di samping portfolio sedia ada sebagai Pengerusi Eksekutif, Pengarah Urusan, Pengarah Eksekutif, CEO, Pengurus Besar dan pengurusan kanan organisasi, pastinya kami perlu mengamalkan disiplin yang ketat bagi menyeimbangkan komitmen kerja, jadual perjalanan yang agak padat dan disulami pula dengan komitmen keluarga.

 

Saya percaya walaupun ada antara kami yang agak tertekan dalam menyeimbangkan semua perkara ini, kami sebenarnya sangat menghargai peluang yang dihidangkan oleh AHIBS UTM ini.    

 

Kepada rakan-rakan di luar sana, belajarlah selagi ada nyawa di badan. Gunakan segala peluang yang terhidang kerana kita pastinya mahu meninggalkan ilmu yang bermanfaat sebagai salah satu amalan yang tidak putus selepas kematian kita kelak.  - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd