AI, IPO dan Ilusi Trilion Dolar: Setiap Generasi Ada Gelembungnya Sendiri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AI, IPO dan Ilusi Trilion Dolar: Setiap Generasi Ada Gelembungnya Sendiri

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Dana ETF yang menjejak Nasdaq terus mencatat aliran masuk berbilion dolar, manakala dalam masa yang sama pelabur semakin obses dengan syarikat yang masih membakar tunai pada skala besar setiap tahun.

 

Itulah paradoks pasaran pada 2026. Wang bergerak ke satu arah, emosi ke arah yang lain.

 

Apa yang berlaku bukan lagi sekadar peralihan daripada pelaburan aktif kepada pasif. Ia sudah berubah menjadi peralihan daripada analisis kepada naratif. Dalam banyak keadaan, pelabur tidak lagi bertanya sama ada sesebuah syarikat itu menguntungkan.

 

Soalannya kini lebih ringkas: adakah cerita ini cukup kuat untuk dijual kepada orang lain pada harga lebih tinggi?

 

Pasif yang Menang, Tetapi Tidak “Menjual Cerita”

Ada ironi besar dalam pasaran hari ini. Semakin kuat budaya “story stock”, semakin besar aliran wang masuk ke instrumen yang langsung tidak menjual cerita.

 

Invesco QQQ, ETF yang menjejak Nasdaq-100, mencatat pulangan 42.77% bagi tempoh setahun hingga 31 Mei 2026. Bagi tiga dan lima tahun, pulangannya masing-masing 116.32% dan 127.98%, dengan kos pengurusan sekitar 0.18% setahun.

 

Tiada pengasas legenda. Tiada naratif revolusi. Tiada janji mengubah dunia.

 

Hanya indeks.

 

Dan mungkin itulah sebabnya ia terus menang. Bukan kerana pelabur malas, tetapi kerana memilih pemenang secara konsisten hampir mustahil dilakukan.

 

Namun “pasif” bukan bermaksud selamat. Nasdaq-100 masih sarat dengan saham teknologi mega. Bezanya, pelabur tidak perlu meneka siapa juara — mereka hanya perlu percaya inovasi tidak akan berhenti.

 

Trilion Dolar untuk Masa Depan yang Belum Wujud

SpaceX membawa pasaran ke tahap yang semakin sukar dibezakan antara realiti dan harapan.

 

Selepas IPO pada Jun 2026, syarikat itu dilaporkan mencecah penilaian melebihi AS$2 trilion walaupun mencatat hasil sekitar AS$18.67 bilion dan kerugian hampir AS$5 bilion pada 2025.

 

Pelabur tidak membeli roket semata-mata. Mereka membeli dominasi masa depan yang belum terbentuk.

 

Roket mungkin boleh melawan graviti, tetapi penilaian pasaran tidak.

 

OpenAI pula berada dalam kelas yang sama. Dengan IPO yang dilaporkan boleh mencecah AS$1 trilion, syarikat itu menjana sekitar AS$5.7 bilion hasil pada suku pertama 2026, tetapi masih membakar AS$3.7 bilion tunai.

 

Pertumbuhan pantas, pengguna ratusan juta — tetapi keuntungan masih “nanti dulu”.

 

Tiada siapa menafikan AI akan mengubah dunia. Persoalannya cuma satu: adakah harga hari ini sudah terlalu jauh mendahului realiti?

 

Apabila terlalu banyak andaian perlu menjadi kenyataan serentak, analisis kewangan mula berubah menjadi doa yang dibungkus dalam prospektus.

 

Malaysia: Meniru Emosi Silicon Valley, Bukan Teknologi

Malaysia tidak mempunyai OpenAI atau SpaceX. Tetapi kita mempunyai versi lebih kecil kepada psikologi yang sama.

 

Setiap kali IPO baharu muncul, perbincangan jarang bermula dengan margin, hutang atau aliran tunai. Ia bermula dengan satu soalan paling popular: “Boleh naik berapa?”

 

Pada 2025, Malaysia merekodkan 60 IPO — tertinggi dalam lebih dua dekad. Pasaran modal berkembang kepada RM4.3 trilion, manakala dana yang dikumpul meningkat kepada RM187.7 bilion. Aset di bawah pengurusan pula mencecah RM1.14 trilion.

 

Angka ini menunjukkan pasaran yang aktif, tetapi bukan bermakna setiap penyenaraian itu satu peluang yang baik.

 

Malaysia tidak meniru Silicon Valley dari sudut teknologi, tetapi kita cenderung meniru emosi pelaburannya. Bila Amerika jual AI, kita beli harapan. Bila syarikat tempatan jual pertumbuhan, kita beli potensi. Dalam kedua-dua keadaan, premium dibayar untuk masa depan yang belum pasti.

 

ETF tempatan pula sering terpinggir. Ia tidak menawarkan rasa “masuk awal”, tidak menjanjikan sasaran harga sensasi, dan tidak memberi kepuasan untuk memberitahu kumpulan WhatsApp bahawa kita sudah nampak peluang lebih awal daripada orang lain.

 

Ia hanya menawarkan disiplin. Dan disiplin jarang menjadi bahan promosi yang menarik.

 

Apabila Muzik Berhenti

Dana indeks pasif terus mengumpul aset kerana ia menjual sesuatu yang sukar dipasarkan: disiplin.

 

IPO mega pula terus menarik perhatian kerana ia menjual sesuatu yang mudah dipasarkan: harapan.

 

Kedua-duanya ada tempat dalam pasaran modal. Masalah timbul apabila pelabur membayar harga disiplin untuk mendapatkan harapan, atau lebih buruk lagi, membayar harga kesempurnaan untuk dunia yang masih penuh ketidakpastian.

 

Bursa tidak pernah memaksa sesiapa membeli pada harga tinggi. Ia hanya menyediakan pentas.

 

Yang menjual datang dengan visi. Yang membeli datang dengan harapan.

 

Apabila tepukan berhenti, algoritma diam, dan pembentangan korporat disimpan semula dalam fail PDF, hanya satu perkara yang tinggal di atas meja...iaitu penyata kewangan. - DagangNews.com