KUALA LUMPUR 5 Sept - Selepas 14 tahun permohonan pengambilan pekerja asing melibatkan tiga sektor dibekukan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) menyambut baik langkah untuk membuka semula subsektor kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas.
Presidennya, Nivas Ragavan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dibuat selepas perjuangan yang panjang.
"Berita menggembirakan ini datang pada masa yang tepat untuk melindungi perniagaan tradisional India yang telah beroperasi sejak beberapa generasi di Malaysia.
"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, subsektor ini terjejas teruk akibat penutupan berterusan sehingga enam bulan.
"Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada tiga subsektor terpaksa ditutup kerana mereka tidak lagi dapat menampung perbelanjaan operasi dan tidak dapat memulihkan semula selepas COVID-19.
"KLSICCI dan persatuan perdagangan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan terdahulu dan semasa untuk menangani pembekuan yang dikeluarkan pada 2009 dan diperkukuh selepas keputusan Kabinet pada 2020 tanpa sebarang rundingan dengan pemain industri," katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Anwar dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar kerana mendengar keluhan mereka dan menyelesaikan kekurangan pekerja yang teruk.

Oleh itu, beliau berkata pemain industri kini mula melihat masa depan yang lebih cerah dengan memohon pekerja baharu dan menghalalkan pekerja yang tidak berdokumen untuk menyokong keperluan perniagaan mereka bagi memulihkan sistem rantaian bekalan.
Sebagai menghargai Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Rozial Abudin serta pasukan pegawai kementerian, Nivas menyatakan penghargaan persatuan industri dan perdagangan untuk menilai kebimbangan bagi ketiga-tiga subsektor ini.

Antara lain, beliau turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, atas usaha kerjasama bersama Menteri Sumber Manusia dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam peranan penting mereka untuk memudahkan komuniti perniagaan India, lapor The Star.

BACA JUGA: Kerajaan lulus sebahagian daripada 15,000 permohonan pekerja asing - PM Anwar
Semalam, Anwar meluluskan sebahagian daripada permohonan pengambilan pekerja asing, melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas, yang sebelum ini dibekukan.
Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor berkenaan. - DagangNews.com








