KLCI tercorot, prestasi Bursa Thailand terbaik di rantau ini - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI tercorot, prestasi Bursa Thailand terbaik di rantau ini - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Indeks penanda aras utama pasaran ekuiti tempatan, FBM KLCI terpelosot di kedudukan akhir di belakang negara-negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura, bermula awal tahun hingga setakat ini.

 

Malah, KLCI melebarkan lagi kerugian pada tempoh sembilan bulan pertama 2021 (9M21) kepada 5.5%, selepas merosot 4% pada September 2021 berbanding bulan sebelumnya, menurut data CGS-CIMB Research. 

 

Bursa Thailand sebaliknya mencatatkan prestasi terbaik bagi tempoh berkenaan, melonjak 10.6%.

 

“Dalam kalangan pasaran Malaysia, Indonesia Singapura dan Thailand (MIST), KLCI berprestasi paling teruk pada September 2021, diikuti oleh Bursa Thailand (-2.2%). 

 

“Bursa Indonesia mencatatkan lonjakan terbaik mencecah 2.2% berbanding bulan sebelumnya pada September, diikuti Bursa Singapura yang menokok 1.1%,” jelas firma itu. 

 

Sebagai rekod, KLCI berprestasi paling cemerlang di antara pasaran MIST pada tahun lalu, melonjak 2.4% sekali gus meninggalkan Bursa Singapura yang menyusut 12%, Bursa Thailand (-8%) dan Bursa Indonesia (-5%).

 

Pada bulan lalu, KLCI merosot hampir separuh daripada lonjakan yang dicapai pada Ogos untuk ditutup pada 1,537 mata, sekali gus mencerminkan kerugian bulanan tertinggi sejak Ogos 2020. 

 

Menurut CGS-CIMB, kerugian itu disebabkan oleh jualan saham syarikat sarung tangan, kebimbangan terhadap cukai keuntungan modal, pelan untuk mengecualikan faedah untuk peminjam berpendapatan rendah dan krisis hutang Evergrande. 

 

Kata firma itu lagi, sektor yang berprestasi paling baik bagi bulan lalu termasuk teknologi, pengeluaran perindustrian, pengangkutan, sementara sektor penjagaan kesihatan dan perladangan berada di kedudukan tercorot.

 

“Purata jumlah dagangan harian melonjak 13% berbanding bulan sebelumnya kepada 4.7 bilion unit, sementara purata nilai dagangan harian menokok 20% kepada RM3.3 bilion pada September 2021. 

 

“Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih sebanyak RM0.7 bilion ekuiti Malaysia pada September 2021, tetapi ini dikurangkan oleh penjualan bersih sebanyak RM1.9 bilion oleh pelabur institusi.

 

“Pelabur runcit pula merampas semula kedudukan mereka sebagai pembeli bersih terbesar dan membeli RM0.9 bilion ekuiti pada September 2021,” ujar CGS-CIMB lanjut. - DagangNews.com