KUALA LUMPUR 11 Jan - Projek pembangunan bandar kesihatan, KL Wellness City (KLWC) dicadang untuk meningkatkan prospek pelancongan perubatan di Malaysia dengan visi mewujudkan hab kesejahteraan bersepadu yang lengkap.
Bandar tersebut merangkumi pelbagai aspek rawatan perubatan, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan dan perniagaan yang lengkap dengan tawaran kemudahan kediaman, runcit dan komersial.
Pembangunan tersebut itu juga sejajar dengan unjuran pendapatan tahunan sebanyak RM2 bilion pada tahun 2025.
Industri pelancongan perubatan telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM726 juta pada S3 2022 menghampiri sasaran RM1 bilion tahun lepas, susulan pembukaan semula sempadan negara pada April 2022.
Pengarah Urusan KL Wellness City Sdn Bhd, Datuk Dr Colin Lee berkata, Pelan Tindakan Industri Pelancongan Perubatan 2021-2025 oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) mengenal pasti bahawa ‘pembangunan penyusutan tahap penjagaan, pemulihan dan kesejahteraan untuk pelancongan kesihatan’ merupakan antara perkara kritikal yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan.
Beliau berkata, KLWC merupakan sebuah bandar yang berteraskan kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Jelasnya, KLWC menetapkan sasaran untuk menjadi hab pelancongan kesihatan tempatan dan antarabangsa.


"Bagi para pengunjung tempatan dan antarabangsa, KLWC akan menjadikan Malaysia sebagai lokasi ideal dalam Asia Tenggara untuk dikunjungi dan dilawati, sambil menikmati pengalaman dalam persekitaran penjagaan kesihatan serta kemudahan kesejahteraan terbaik yang direka khusus untuk kehidupan yang lebih berkualiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berkeluasan sekitar 24.69 ekar, KL Wellness City terletak 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia merupakan ekosistem pelancongan kesihatan yang meliputi kemudahan termasuk The Nobel Healthcare Park dan The International Tertiary Hospital.


Ia juga meliputi sebanyak 379 suite pakar perubatan, resort persaraan, pasar raya penjagaan kesihatan, unit kediaman, lot kedai komersial yang menawarkan dagangan berasaskan kesihatan serta kecergasan, selain kedai makanan dan minuman, ruang pejabat Multimedia Super Corridor (MSC) dan Central Park.
Sementara itu, KL Wellness City menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina bertemakan ‘Spring of the Auspicious 8’, untuk kali pertama di galeri KLWC, Bukit Jalil pada 14 hingga 15 Januari serta 4 hingga 5 Februari 2023 yang dimeriahkan dengan aktiviti termasuk persembahan dan hadiah untuk pengunjung. - DagangNews.com








