KJTS meterai perjanjian taja jamin bersama Hong Leong Investment Bank bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

KJTS meterai perjanjian taja jamin bersama Hong Leong Investment Bank bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Lee Jim Leng (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Lee Kok Choon (kanan) semasa majlis Perjanjian Taja Jamin KJTS Group bersama Hong Leong Investment Bank sambil disaksikan Pengara Urusan KJTS, Sheldon Wee (kiri).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - KJTS Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama Hong Leong Investment Bank Berhad bagi menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pelaksanaan IPO, seperti yang diperincikan dalam draf prospektus kumpulan yang terdapat di laman web Bursa Malaysia Berhad, melibatkan penerbitan kira-kira 218.03 juta saham baharu.

 

Ini mewakili 31.69% daripada jumlah saham terbitan KJTS yang diperbesarkan, yang dibahagikan antara tawaran runcit 49.40 juta saham biasa baharu yang mewakili 7.18% daripada saham terbitan yang diperbesarkan dan penawaran institusi sebanyak 168.63 juta saham biasa baharu kepada pelabur institusi dan terpilih yang mewakili 24.51% daripada saham terbitan yang diperbesarkan.

 

Hong Leong Investment Bank berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan pemilik buku tunggal akan menaja jamin keseluruhan 49.40 juta saham biasa baharu di bawah tawaran runcit.

 

Pengarah Urusan KJTS, Lee Kok Choon berkata, dana yang dijana menerusi IPO itu akan digunakan bagi mengembangkan segmen tenaga penyejuk di Malaysia. 

 

Beliau berkata, perkhidmatan tenaga penyejukan itu membolehkan mereka memanfaatkan peluang peningkatan kesedaran tentang prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kerana sistem tenaga penyejuk ini membantu pelanggan mengurangkan pelepasan karbon dioksida melalui pengurangan penggunaan elektrik.

 

"Kami juga merancang menggunakan dana itu bagi mengembangkan pejabat di Malaysia, Thailand dan Singapura. Rangsangan kewangan ini adalah kunci kepada komitmen dalam mengembangkan perkhidmatan kami di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank, Lee Jim Leng berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam menjayakan perjanjian itu.

 

"Kami berharap kehadiran pasaran KJTS dan rancangan pertumbuhan masa depan akan memberikan peluang yang menarik untuk pelabur dan kami yakin penyenaraian ini akan menjadi satu langkah ke hadapan yang penting untuk syarikat," katanya. - DagangNews.com