Kinergy Advancement terima kontrak RM33.3 juta daripada Pengerang LNG Two | DagangNews Skip to main content

Kinergy Advancement terima kontrak RM33.3 juta daripada Pengerang LNG Two

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - Kinergy Advancement Berhad (dahulu dikenali sebagai Kejuruteraan Asastera Berhad) telah menerima kontrak bernilai RM33.3 juta daripada daripada anak syarikat syarikat Petronas Gas Berhad, Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, penyedia rumusan tenaga dan kejuruteraan sehenti itu berkata surat anugerah (LOA) berkenaan diterima bagi kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bekalan utiliti untuk unit penyimpanan terapung (FSU) di Terminal Pengegas Semula Pengerang (RGTP).

 

Dijangka siap menjelang akhir 2023, KAB berkata pengembangan kemudahan gas asli cecair (LNG) tersebut dan pengubahsuaian kapal pengangkut LNG kepada FSU akan meningkatkan kapasiti dan kecekapan penyimpanan LNG dengan ketara di rantau ini.

 

Menurut KAB, RGTP tersebut kini merancang untuk menukar kapal pengangkut LNG 137,000m3 kepada FSU, yang akan dikekalkan sebagai tempat penyimpanan LNG baharu di luar pesisir.

 

“Sebagai sebahagian daripada usaha kemampanan persekitaran KAB, FSU akan direka bentuk untuk memudahkan sambungan kuasa eletrik dari pesisir pantai ke kapal, dengan tujuan untuk mengurangkan pelepasan dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan yang sama.

 

KAB menjangkakan projek terbabit meningkatkan pendapatan kumpulan dan mengukuhkan kedudukannya dalam rumusan tenaga lestari (SES), sejajar dengan visi KAB untuk masa depan yang lestari.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata peranan dan kapasiti kumpulan itu memperkasa usaha mereka untuk melaksanakan perkhidmatan dan rumusan berkualiti tinggi.

 

“Kontrak ini mencerminkan dedikasi kami terhadap kebolehpercayaan dan kecemerlangan kepada pelanggan.

 

“Ia juga mengukuhkan kelayakan dan perjalanan kami daripada penyedia rumusan mekanikal dan elektrik (M&E) kepada penyedia rumusan tenaga dan kejuruteraan sehenti,” ujar beliau.

 

Kontrak baharu tersebut merupakan kontrak kedua daripada anak syarikat Petronas selepas kontrak EPCC diperoleh awal tahun ini melibatkan kerja pembinaan dan pembekalan tenaga elektrik 52 megawatt.  - DagangNews.com