KUALA LUMPUR 3 Okt - Kimlun Corporation Bhd telah memperoleh dua kontrak bernilai RM140.22 juta daripada Eco World Development Group Bhd untuk pembinaan pangsapuri perkhidmatan dan beberapa siri rumah bersambung di Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan itu berkata kontrak terbabit diberikan kepada anak syarikatnya, Kimlun Sdn Bhd.
Skop kerja termasuk reka bentuk dan pembinaan blok dan kemudahan pangsapuri perkhidmatan, dengan jangkaan ia disiapkan pada 1 April 2026.
Kumpulan itu juga akan melaksanakan pembinaan 148 rumah bersambung dan struktur sampingan yang disertakan, dengan jangkaan tarikh siap pada 1 April 2025.
"Projek-projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kimlun untuk tahun kewangan dalam tempoh kontrak," tambahnya.
Saham Kimlun dibuka tinggi 1 sen atau 1.3% pada 80 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM282.6 juta. - DagangNews.com








