KUALA LUMPUR 25 Julai - Khazanah Nasional Bhd menganjurkan Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) buat kali kedua bagi meninjau cadangan perniagaan berimpak tinggi yang mempunyai penyelesaian inovatif dan berdaya maju secara komersial untuk menangani cabaran perubahan iklim terhadap keterjaminan makanan di Malaysia.
Bertemakan 'Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia;, pertandingan ini dianjurkan oleh Khazanah di bawah inisiatif Dana Impak dengan komitmen RM6 bilion untuk tempoh lima tahun, KIIC 2023 berhasrat untuk menarik syarikat pemula agrimakanan yang inovatif, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang aktif dalam menangani permasalahan daripada kesan perubahan iklim terhadap sektor agrimakanan.
Cabaran ini bertujuan untuk mencari penyelesaian inovatif seperti sumber makanan haiwan alternatif, baja alternatif, teknologi perladangan, pembiayaan, dan penyelesaian rantaian bekalan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam industri agrimakanan.
“10 finalis KIIC akan menerima sehingga RM500,000 setiap satu dalam bentuk geran dan berpeluang mengemukakan cadangan (pitch) bagi menarik potensi pelaburan ekuiti daripada Khazanah dan rakan pendanaannya.
“Selain itu, KIIC 2023 akan memberikan sokongan kepada peserta terpilih bagi meningkatkan kesediaan dan pengetahuan mereka dalam mendapatkan dan mengumpul dana untuk membawa perniagaan mereka ke tahap pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata usaha tersebut dapat mempertemukan pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk meneroka peluang kerjasama dan memanfaatkan kepelbagaian bakat dan kepakaran dalam kalangan syarikat pemula Malaysia dan PMKS dalam sektor agrimakanan.

“Oleh kerana perubahan iklim kian mengancam keterjaminan makanan negara, usaha ini diharap dapat menawarkan sokongan yang diperlukan dan sebuah platform berjangkauan luas bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian inovatif dan mampan, sejajar dengan strategi jangka panjang kami iaitu Memajukan Malaysia,”ujar beliau.
Permohonan dalam talian untuk menyertai KIIC 2023 terbuka kepada semua entiti perniagaan yang berpangkalan di Malaysia dan dibuka hari ini sehingga 4 September 2023.
Permohonan yang disenarai pendek akan menerima jemputan untuk Hari Demo dan finalis akan diumumkan pada bulan Oktober 2023.
Maklumat lanjut dan syarat kelayakan untuk menyertai KIIC boleh dilayari di www.khazanah.com.my/kiic. - DagangNews.com








