Khadijah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Ramssol | DagangNews Skip to main content

Khadijah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Ramssol

Khadijah Iskandar
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept - Ramssol Group Berhad (Ramssol) mengumumkan pelantikan Khadijah Iskandar bagi menganggotai lembaga pengarah syarikat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, Khadijah sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dengan pengalaman lebih 25 tahun perkhidmatan kewangan dalam kedua-dua pertubuhan tempatan dan antarabangsa.

 

"Beliau akan menambah keluasan pengalaman dan kepakaran yang pelbagai untuk memacu aspirasi masa depan syarikat.

 

“Pelantikan beliau merupakan tambahan yang dialu-alukan kepada Lembaga Pengarah Ramssol, kerana ini akan menjadikan perwakilan lembaga wanita kami kepada 28.57%, yang hampir dengan sasaran kami untuk mempunyai 30% wanita dalam Lembaga Pengarah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Khadijah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1991 dari University of Denver, Colorado, Amerika Syarikat dan memiliki kelayakan Profesional Kredit Bertauliah dan Profesional Kewangan Islam Bertauliah. 

 

Pengalaman perbankan Islamnya melayakkannya sebagai pakar asas operasi kredit dalam perbankan Islam, produk perbankan perniagaan Islam, penilaian kredit dan teknik analisis serta pengurusan risiko dalam program pembelajaran tajaan Institut Perbankan Islam dan Kewangan Malaysia.

 

Di samping itu, pelantikan beliau dalam Agrobank sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif telah berjaya membawa syarikat itu memenangi pelbagai anugerah, termasuk anugerah prestasi terbaik 2020-2021 oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dan Wanita Paling Berpengaruh dalam perniagaan dan kewangan Islam daripada WOMANi Laporan 2020 dan 2021.

 

Beliau turut meraih Anugerah Hal Ehwal Awam oleh Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2021, Rakan Kongsi Institusi Kewangan Tertinggi Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) 2021, dan tiga finalis terbaik untuk Anugerah Bakat 2021 daripada Linkedin.

 

Khadijah akan mengetuai Jawatankuasa Pencalonan dalam syarikat dan akan memegang jawatan dalam Jawatankuasa Audit, Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Jawatankuasa Ganjaran. - DagangNews.com